Jumaat, 18 March 2016 | 11:23pm

Peguam maut dipercayai terjun dari hotel

JOHOR BAHRU: Seorang peguam maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 10 sebuah hotel di Jalan Ngee Heng di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada orang awam pada jam 3.30 petang.


KETUA Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Katanya, pemeriksaan awal polis ke atas mangsa berusia 57 tahun itu mendapati terdapat luka pada dagu, selain patah peha kanan dan tali pinggangnya turut putus.

"Pegawai perubatan yang memeriksa mangsa kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tenpat kejadian.

"Mangsa yang berbaju kemeja lengan panjang warna biru muda, berseluar panjang warna hitam dan hanya berstokin hitam ditemui tertiarap di atas jalan masuk ke tempat letak kenderaan hotel berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Sulaiman berkata, siasatan awal polis juga mendapati pada jam 2 petang tadi, mangsa dihantar oleh pemandunya dengan kereta dari pejabatnya di Jalan Wong Ah Fook di sini, ke hotel berkenaan untuk berjumpa rakannya.

"Bagaimanapun, kira-kira 3.45 petang, mangsa didapati seorang diri berjalan di aras 10 hotel berkenaan yang juga kawasan meletak kenderaan sebelum membuka kasut lalu memanjat tembok dan terjun.

"Pekerja hotel yang berada berhampiran lokasi kejadian kemudian terdengar bunyi dentuman kuat sebelum menemui mangsa yang cedera parah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Tiada sebarang nota ditinggalkan dan mangsa yang tinggal bersendirian di Majidee Park di sini, juga tidak menunjukkan sebarang tanda mempunyai masalah," katanya.

Sulaiman berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk dibedah siasat.

Berita Harian X