Jumaat, 18 March 2016 | 7:35pm

Saham KL ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Harga saham ditutup tinggi hari ini berikutan sokongan belian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, saham permodalan kecil dan kaunter berkaitan kewangan.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 13.15 mata untuk ditutup kepada 1,716.34 berbanding 1,703.19 pada Khamis.

Indeks itu bergerak antara 1,705.62 dan 1,716.34 sepanjang hari dagangan, selepas dibuka tinggi 5.94 mata kepada 1,709.13.

Suasana pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 538 berbanding 349 dengan 317 kaunter tidak berubah, 522 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.02 bilion saham bernilai RM2.98 bilion daripada 1.81 bilion saham bernilai RM2.31 bilion pada Khamis.

Seorang peniaga berkata, sentimen positif ke arah ekuiti masih jelas, apabila Rizab Persekutuan AS menangguhkan untuk menaikkan kadar faedah dan dijangka memilih dua, berbanding empat kali tahun ini.

"Prestasi positif bursa tempatan hari ini mencerminkan peningkatan minat yang telah lama tertangguh bagi kaunter institusi kewangan, berbanding pendirian yang lebih lemah beberapa bulan lalu," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank naik tiga sen kepada RM8.91, TNB meningkat dua sen kepada RM13.42, Public Bank menokok 10 sen kepada RM18.90, Petronas Chemicals melonjak 14 sen kepada RM6.92 dan IHH Healthcare naik 27 sen kepada RM6.75.

Saham cergas hari ini termasuklah Anzo dan Genetec yang naik 2.5 sen setiap satu masing-masing kepada 30 sen dan 15 sen, CIMB meningkat lapan sen kepada RM4.88, manakala SMTrack turun 1.5 sen kepada lapan sen dan AirAsia susut dua sen kepada RM1.76.

Indeks FBM Emas naik 103.58 mata kepada 11,909.29, Indeks FBMT100 meningkat 101.49 mata kepada 11,612.00 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 93.02 mata kepada 12,518.62.

FBM 70 meningkat 160.89 mata kepada 13,224.91 dan FBM Ace naik 13.7 mata kepada 5,683.86.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 133.36 mata kepada 14,711.17, Indeks Perusahaan naik 17.7 mata kepada 3,291.19, manakala Indeks Perladangan berkurangan 0.75 mata kepada 8,037.55.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.4 bilion unit bernilai RM2.86 bilion daripada 1.25 bilion unit bernilai RM2.2 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 338 juta unit bernilai RM67.63 juta berbanding 345.62 juta unit bernilai RM63.01 juta sebelumnya.

Waran meningkat kepada 283.19 juta unit bernilai RM46.22 juta berbanding 210.37 juta unit bernilai RM40.57 juta.

Barangan pengguna menyumbang 73.66 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (232.93 juta), pembinaan (116.33 juta), perdagangan dan perkhidmatan (557.93 juta), teknologi (25.93 juta), prasarana (15.17 juta), SPAC (116.11 juta), kewangan (93.33 juta), hotel (608,800), hartanah (124.87 juta), perladangan (34.83 juta), perlombongan (31,000), REITs (12.43 juta) dan dana tertutup (6,000). - BERNAMA

Berita Harian X