Jumaat, 18 March 2016 | 1:32pm

Anak didik terasa kehilangan Adnan


ALLAHYARHAM Datuk Adnan Abu Hassan.

KUALA LUMPUR: Pemergian komposer tersohor, Datuk Adnan Abu Hassan, 57, pagi tadi turut diratapi beberapa anak didik beliau. Mereka termasuk Nora Ariffin, Ziana Zain, Liza Hanim dan Dayang Nurfaizah.

Bagi pelantun lagu Di Persimpangan Dilema, Nora, kehilangan komposer itu sangat dirasakan kerana hubungan beliau dengan pencipta yang menaikkan namanya di persada muzik itu sudah bagaikan keluarga.

Katanya, sejak mengetahui keadaan kesihatan arwah yang kurang baik sejak kebelakangan ini, beliau sentiasa mendoakan Adnan kembali sihat. Namun penyanyi berasal dari Kelantan ini reda menerima ketentuan Allah.

"Saya selalu berdoa supaya abang Adnan kembali sihat, namun Allah lebih sayangkan beliau. Kehilangan arwah sesuatu yang mengejutkan dan sangat dirasai," katanya.

Nora berkata, kenangan terakhir beliau bersama arwah adalah ketika komposer terbabit menghadiri showcase beliau Januari lalu.

"Saya terharu apabila arwah hadir dan berikan sokongan walaupun berkerusi roda. Saya ingat pesanan beliau supaya saya teruskan nyanyian. Saya tidak sangka itulah detik terakhir saya bersama beliau," katanya.

Penyanyi ini turut melahirkan rasa terkilan apabila hasrat arwah untuk mengadakan konsert bersama penyanyi yang pernah menyanyikan lagu ciptaannya tidak kesampaian.

Ziana Zain pula melahirkan rasa terkilan apabila tidak berkesempatan melawat Adnan berikutan kekangan masa. Beliau bagaimanapun bersyukur kerana komposer itu menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat.

"Saya baharu saja menerima perkhabaran Abang D (Adnan) berada dalam keadaan kritikal dan berhasrat untuk melawat pada hari Ahad. Namun, beliau terlebih sulu menyahut panggilan Ilahi dan pergi sebelum saya sempat berjumpa dengannya.

"Alhamdulillah, Abang D meninggal dunia pada hari Jumaat iaitu hari yang mulia. Semoga arwah ditempatkan dikalangan mereka yang beriman," katanya dalam keadaan sebak kepada BH Online.

Pemilik nama penuh Siti Roziana Zain, 48, terhutang budi dengan jasa baik komposer itu yang berjaya melonjakkan namanya sehingga ke tahap sekarang.

"Abang D ialah individu pertama yang memberikan saya lagu balada moden, sekali gus membuka ruang kepada saya dalam industri muzik tempatan. Beliau memberikan dinamik pada vokal saya menerusi lagu Puncak Kasih yang turut memenangi kategori Balada pada Anugerah Juara Lagu 1998.

"Biarpun menghadapi kesukaran untuk menyanyikan lagu itu pada peringkat awal, namun kata-kata semangat yang diberikan oleh Abang D berjaya membantu saya merakamkannya dengan baik. Jasa baik Abang D akan saya kenang sampai hujung nyawa.

"Pemergiannya ibarat sebutir permata yang hilang dalam persada muzik tempatan. Sentuhan magis menghasilkan lagu sering kali menyentuh jiwa pendengar. Abang D bijak juga memilih penulis lirik bersesuaian dengan melodi yang diciptanya," kata Ziana.

Komposer terbabit turut dianggap sebagai seorang yang tidak mudah marah, lebih-lebih lagi terhadap penyanyi yang menjadi anak didiknya. Liza Hanim umpamanya menyifatkan Allahyarham seorang yang lembut hati dan bersifat sebagai pelindung buat mereka.

"Sejak arwah memperkenalkan saya dalam industri seni muzik tempatan sehinggalah sekarang, saya belum pernah melihatnya marah.

"Sebagai pendidik, beliau lebih senang mengajar dengan cara yang lembut, tetapi pada masa sama serius dalam kerja. Sikapnya itu membuat orang di sekelilingnya selesa dengannya," kata Liza.

Dalam pada itu, Liza turut berkongsi memori bersama Allahyarham yang dianggap seperti seorang bapa yang melindunginya daripada anasir tidak baik dalam dunia hiburan.

"Biasalah, pada awal pembabitan saya dalam industri, saya masih muda dan belum pandai melihat mana yang baik dan buruk. Jadi arwah yang akan menjaga saya sebaik-baiknya daripada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.

"Malah, jika rakaman lagu habis sehingga lewat malam, beliau tidak akan membenarkan saya pulang bersendirian dan meminta saya tidur saja di rumahnya. Apa-apapun, kenangan manis saya bersama arwah akan terpalit dalam hati sampai bila-bila," tuturnya yang popular dengan lagu Getaran Cinta Di Jiwa.

Sementara itu, Dayang juga sependapat dengan Liza yang menyifatkan Allahyarham seorang yang berhati mulia dan tidak pernah meninggi suara terhadapnya.

"Jujurnya, saya tidak sangka beliau sudah pun meninggalkan kita. Sudah lama saya tidak berjumpa dengannya.

"Mengenali arwah, ketika di studio rakaman, beliau tidak mengamalkan sikap terlalu tegas dengan penyanyi. Mungkin kerana itu juga membuatkan ramai penyanyi mahu bekerjasama dengannya. Tambahan pula, lagu yang dihasilkan kebanyakannya menjadi malar segar.

"Saya bertuah, arwah banyak menyumbangkan lagu untuk album pertama saya, Dayang Nurfaizah, pada tahun 1999," katanya.

Antara lagu yang dihasilkan Adnan untuk Dayang ialah Hakikat Cinta, Hembusan Asmara dan Sekeping Kad Merah.

Berita Harian X