Jumaat, 24 Oktober 2014 | 9:56pm
MENTERI Besar Kedah,Datuk Seri Mukhriz memukul gong simbolik perasmian sidang kemuncak penulis Malaysia dan pelancaran buku Mek Mulung di Kelab Golf Darulaman. - Foto Amran Hamid

Kerajaan Kedah isytihar teater tradisional Mek Mulung sebagai Seni Warisan Kedah


.ZINITULNIZA Abdul Kadir menunjukkan buku Mek Mulung hasil tulisannya di majlis perasmian sidang kemuncak penulis Malaysia dan pelancaran buku Mek Mulung di Kelab Golf Darulaman. - Foto Amran Hamid

JITRA: Kerajaan Kedah mengisytiharkan teater tradisional Mek Mulung sebagai Seni Warisan Kedah yang diharap bakal membuka jalan kepada pengiktirafan Warisan Dunia oleh UNESCO.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata susulan pengiktirafan itu, pelbagai usaha akan digerakkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai pihak khususnya Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Bina Darulaman Berhad (BDB).

"Ia mengambil kira fakta bahawa Kedah sebagai satu-satunya negeri yang Mek Mulung dimainkan dari satu generasi ke generasi selama 400 tahun.

"Susulan pengiktirafan ini, pelbagai usaha akan digerakkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai pihak khususnya dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Bina Darulaman Berhad (BDB)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku Mek Mulung pada Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) di Darulaman Golf & Resort di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron; dan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

Mukhriz turut mengumumkan penubuhan Yayasan Penulis Malaysia yang bertujuan menggerakkan sastera dan industri serta menjaga kebajikan penulis.
SKPM dianjurkan oleh ITBM, BDB dan PENA, disertai lebih 300 sasterawan, pengarang, budayawan dan penggiat sastera seluruh tanah air.

Berita Harian X