Jumaat, 18 March 2016 | 11:07am

Penyokong United mula kempen singkir van Gaal, ambil Mourinho


PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal. - Foto AFP

MANCHESTER: Penyokong Manchester United tidak memerlukan jemputan untuk memulakan kempen #VanGaalOut (singkirkan Van Gaal) selepas kelab itu terkeluar daripada saingan Liga Europa di tangan Liverpool, di sini, malam tadi.

Musuh tradisi United itu mengesahkan tempat ke suku akhir selepas Philippe Coutinho menjaringkan satu gol di tempat lawan untuk seri 1-1 dalam aksi kedua di Old Trafford sekali gus mencatat kemenangan agregat 3-1.

Susulan kekalahan itu, penyokong The Red Devils jelas sudah tidak boleh bersabar apabila meminta Louis van Gaal segera dipecat dan digantikan Jose Mourinho.

Tidak mengejutkan nama Mourinho beberapa kali dipetik di laman Twitter oleh penyokong United yang menuntut perubahan di Old Trafford untuk menggantikan Van Gaal.

Mourinho yang dipecat sebagai pengurus Chelsea awal musim ini sememangnya dikaitkan bakal mengambil tugas pengurus di Old Trafford musim depan.

Biarpun penyokong mendesak untuk dia segera menggantikan Van Gaal, namun pengendali dari Portugal itu menegaskan hanya akan memulakan tugas bersama mana-mana kelab yang ditandatanganinya pada awal musim depan. - AGENSI

Berita Harian X