Jumaat, 18 March 2016 | 12:08am

Baitullah sumber ketenangan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian makam Ibrahim tempat solat.

Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang yang tawaf, iktikaf, rukuk dan sujud." (Surah al-Baqarah, ayat 125)

Allah SWT mengumpamakan Kaabah itu sebagai (al-bait) atau rumah dan tempat berehat seseorang. Perkataan (mathaabatan) memberi maksud tempat kembali. Justeru, seseorang yang pernah mengunjungi Baitullah akan merasa ketenangan luar biasa dan pasti merindui untuk kembali.

Tidak ada seorang pun yang apabila berada di hadapan Kaabah ingatannya akan tersasar jauh daripada mengingati Allah SWT. Seseorang itu juga apabila memandang Kaabah akan hilang rasa kesedihan dan rasa kesempitan daripada dadanya.

Inilah satu perasaan bagi mereka yang pernah berkunjung ke Baitullah. Ia sesuatu yang tersirat di dalam doa Nabi Ibrahim seperti firman-Nya yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur." (Surah Ibrahim, ayat 37)

Kedamaian berada di Baitullah

Syeikh Ahmad Qutubuddin Shah Waliullah Abdurrahim Al Dahlawi ketika menghuraikan keindahan dan kedamaian berada di Baitullah mengatakan, "kami menyaksikan sendiri dengan jelas seolah-olah Baitullah itu dipenuhi dengan kekuatan sifat malaikat."

Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang tawaf di rumah ini dalam masa genap seminggu dan bersembahyang dua rakaat, maka mereka ini boleh disamakan dengan memerdekakan seorang hamba. Dan sesungguhnya seseorang yang tidak meletakkan kaki dan tidak mengangkatnya melainkan ditulis oleh Allah SWT, maka satu kebaikan untuknya dan Tuhan menghapuskan satu kesalahan serta mengangkatnya satu darjat." (Kitab Kanzu Ummal)

Kelebihan tawaf mempunyai dua rahsia. Pertama, kelebihan ini seperti mengharungi dalam rahmat Allah SWT dan belas kasihan malaikat serta tanggapan kepada-Nya. Sifat khusus yang terhampir adalah mengingati-Nya.

Kedua, seseorang yang melaksanakan suruhan Allah SWT dengan penuh keimanan dan mengiktiraf janji-Nya dengan cara menyatakan serta menerangkan keimanannya kepada Allah SWT.

Sehubungan itu, antara hikmah yang diraikan dalam ibadat haji ialah mengagungkan Baitullah sebagai salah satu syiar Allah SWT. Mengagungkan Baitullah bererti mengagungkan Allah SWT.

Kedua, manifestasi perpaduan daripada perhimpunan umat Islam yang datang dari jauh dan dekat supaya mereka dapat berkenalan, mengambil faedah dari hukum Allah serta menzahirkan kekuatan umat Islam.

Ketiga, menzahirkan persamaan agama Tauhid pada perkara yang diwarisi oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai pemimpin agama untuk bangsa Arab dan Rasulullah SAW diutuskan bagi menzahirkan agama Islam ini serta meninggikan kalimah-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim." (Surah Al-Hajj, ayat 78)

Perkara ibadah daripada dua nabi ini banyak diwarisi seperti dalam amalan ibadah haji. Sabda Rasulullah SAW: "Hendaklah kamu berhenti di tempat ibadah kamu (saie). Maka sesungguhnya kamu mewarisi daripada warisan bapa kamu, Ibrahim." (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Orang Jahiliah mengerjakan haji tetapi amalan haji itu ditambah dengan amalan yang bukan berasal daripada Nabi Ibrahim. Amalan haji itu mengandungi perbuatan dan perkataan syirik seperti mengagungkan berhala Isaf dan Nailah.

Talbiah lambang ketauhidan

Mereka memuja dan menyembelih untuk berhala mereka. Kata-kata syirik dalam talbiah mereka sedangkan lafaz talbiah itu melambangkan ketauhidan, ketaatan dan ingatan kepada Allah SWT.

Oleh sebab orang Jahiliah mengagungkan berhala, maka Nabi Muhammad SAW memasukkan kalimah `lasyarikalahu' yang bermaksud tiada sekutu bagi-Mu ke dalam lafaz itu untuk menolak dan membezakan antara orang Islam dengan orang Jahiliah.

Orang Islam digalakkan memohon keredaan Allah SWT, syurga, meminta perlindungan daripada azab neraka.

Sabda Rasulullah SAW: "Mana-mana orang Islam yang mengucapkan talbiah melainkan mengucap juga talbiah apa yang berada di kanan dan di kiri termasuklah batu, kayu atau tanah sehingga dia meninggalkan tempat itu." (Riwayat Tarmizi)

Golongan Jahiliah pada masa dulu tidak gemar berniaga pada musim haji kerana menganggap perniagaan itu akan mencacatkan keikhlasan amalan mereka. Maka, turunlah firman-Nya yang bermaksud: "Tidak ada dosa bagimu untuk mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan) daripada Tuhanmu." (Surah al-Baqarah, ayat 198)

Mereka menganggap mengerjakan haji tanpa membawa apa-apa bekalan adalah sesuatu yang dituntut dan mendakwa mereka adalah orang yang bertawakal. Hakikatnya, mereka sangat melampau dan menyusahkan orang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan berbekallah, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa." (Surah al-Baqarah, ayat 197)

* Perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources>

Berita Harian X