Khamis, 17 March 2016 | 8:44pm

Remaja maut jatuh pokok cari sarang lebah kelulut

KUALA NERANG: Seorang remaja maut selepas terjatuh dari pokok ketika mencari sarang lebah kelulut di Kampung Tengah, Kurung Hitam di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengahari mangsa Mohd Hafizuddin Fadzil, 16 sedang memotong ranting pokok pukul lima yang dipanjatnya untuk mendapatkan sarang lebah kelulut.

Adik mangsa, Mohd Firdaus Fadzil, 13 berkata, ketika leka melibas parang, salah satu ranting yang dipotong membidas bahagian belakang mangsa hingga menyebabkannya terjatuh.

Katanya, selepas terjatuh abangnya terus tidak sedarkan diri sebelum mereka bertindak mengusungnya hingga ke rumah yang terletak sejauh kira kira 1 kilometer bersama tiga lagi rakan yang turut serta mencari sarang berkenaan.

"Saya panik kerana abang pengsan, saya goyangkan badannya namun dia tetap tidak sedarkan diri.

"Kami mengusungnya sampai ke rumah dan terus memberitahu abang Mat (abang ipar) mengenai kejadian.

"Abang Mat kemudian menghantar abang ke Hospital Kuala Nerang sebelum disahkan meninggal dunia kira kira jam 2 petang," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Sementara itu, rakan mangsa, Muhammad Amirul Alif, 16 berkata, mangsa ada memberitahu tujuannya mencari sarang lebah kelulut adalah bagi mendapatkan wang untuk membaiki telefon bimbitnya yang rosak.

"Kami memang biasa buat kerja ini untuk dapatkan wang saku......lebih lebih lagi pada musim cuti sekolah ini.

"Setiap sarang yang kami dapat boleh dijual pada harga RM150 dan ia memadai untuk kami mendapat sedikit wang saku.

"Tidak sangka pula sikap arwah yang selama ini pendiam tetapi tiba tiba menjadi peramah dan sering berlawan cakap beberapa hari lalu menjadi petanda yang dia akan pergi dengan cara begini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, mangsa masih bernyawa ketika dikejarkan ke hospital pada kira kira jam 12.30 tengahari namun disahkan meninggal dunia pada jam 2 petang.

"Mangsa mengalami patah tulang belakang, patah lengan kanan dan luka di kaki kanan.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X