Khamis, 17 March 2016 | 5:25pm

Penuntut UMT ditemui lemas


PENUNTUT Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang hilang di Pantai Tok Jembal di sini, petang semalam, ditemui lemas oleh anggota pasukan penyelamat.

KUALA NERUS: Penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang hilang di Pantai Tok Jembal di sini, petang semalam, ditemui lemas oleh anggota pasukan penyelamat pada jam 2.30 petang tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Balai dan Operasi Bomba Negeri, Mohamad Zulkhairul Mohamad Razilah, berkata mayat Isabassri Ishak, 21, dari Kampung Seri Kelebang Tambahan 1, Chemor, Perak, ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh pasukan penyelamat yang menjalankan operasi mencari.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Kami berterima kasih kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis dan Unit Skuba UMT yang membantu operasi mencari dan menyelamat," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, Isabassri yang juga penuntut tahun satu Sarjana Muda Pengurusan Maritim, dilaporkan hilang ketika mandi di pantai berkenaan bersama dua rakannya.

18 dibaca
Berita Harian X