Khamis, 17 March 2016 | 3:36pm

Wan Nor Azlin lali cemuhan masyarakat


PELAKON, Wan Nor Azlin.

KUALA LUMPUR: Pelakon Wan Nor Azlin, 48, mengakui dirinya pernah lalai dan tidak tetap pendirian hingga mengambil mudah soal berhijab yang menjadi tuntutan agama.

Beliau juga pada masa sama berharap dirinya kini lebih istiqamah bertudung setelah mengikuti kelas agama.

"Tiada apa yang perlu diulas mengenai isu saya bertudung penuh semula. Ia adalah tuntutan agama dan menjadi tanggungjawab saya sebagai muslimah untuk menutup aurat.

"Mungkin saya jahil pada suatu ketika dulu dan sekarang semakin banyak ilmu yang saya timba ketika menghadiri kelas agama di kawasan perumahan saya.

"Saya kini tidak lagi memakai selendang kepala ketika berlakon, sebaliknya bertudung penuh. Alhamdulillah, stesen televisyen juga sekarang lebih sensitif dan terbuka dengan pelakon berhijab," katanya kepada BH Online.

Wan Nor Azlin bersyukur kerana penerbit dan pengarah lebih memahami syarat dan etika buat pelakon bertudung. Sekali gus, ia memudahkan beliau untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon.

Tegas wanita ini, beliau tidak mahu mempedulikan cemuhan dan persepsi negatif yang dilemparkan terhadapnya, sebaliknya memberikan segala tumpuan kepada usaha mencari rezeki buat dirinya keluarga.

"Biarlah mereka hendak cakap apa sekali pun, saya sudah lali dan tidak mahu ambil kisah kata-kata orang. Apa yang penting adalah antara diri sendiri dan Allah saja.

"Saya juga tidak terfikir untuk mencari teman hidup dan sebagainya ketika ini kerana tumpuan saya hanyalah untuk anak-anak. Saya mencari rezeki untuk membesarkan mereka," katanya.

Dalam perkembangan terkini, Wan Nor Azlin sedang menjalani penggambaran drama bersiri, Assalamualaikum Cinta, arahan Michael Ang. Beliau memegang watak sebagai ibu kepada Ayda Jebat.

Berita Harian X