Khamis, 17 March 2016 | 3:25pm

Masih terlalu awal untuk keputusan jaringan Faiz


PEMAIN Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri ketika beraksi bertemu pasukan Pahang dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya. - Foto Rosli Ahmad

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada gol pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri berpeluang memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016.

"Oleh kerana gol yang dijaringkan Faiz adalah di awal tahun, kita perlu menunggu sampai hujung tahun ini untuk mengetahui keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Pemenang akan ditentukan untuk tempoh setahun dan kalau ada gol yang lebih hebat, maka kita kenalah tunggu keputusan mereka," katanya selepas Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Kementerian Belia dan Sukan, di sini, hari ini.

BH hari ini melaporkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menerima surat maklum balas FIFA tentang pencalonan gol Faiz.

Namun ia tidak memberi jaminan sama ada gol itu akan tersenarai sebagai 10 calon akhir memenangi Anugerah Puskas.

FAM pada 22 Februari lalu, menghantar permohonan rasmi kepada FIFA bagi mencadangkan agar gol dijaringkan pemain berusia 29 tahun itu dipertimbangkan untuk Anugerah Puskas FIFA 2016.

88 dibaca
Berita Harian X