Khamis, 17 March 2016 | 12:23am
AMAR dan Aman Nassim sempat "berselfie' ketika menyertai aktiviti melukis mural sempena sambutan Hari Malaysia di Padang Majlis Perbandaran Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman
AMAR Asyraf (kiri) pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi Drama Dari Pintu Neraka.

Amar Asyraf "flip-flop"?

KUALA LUMPUR: Mula aktif kira-kira empat tahun lalu, pelakon Amar Asyraf, 30, yang mencipta nama dalam drama rantaian Setia Hujung Nyawa, baru-baru ini mengejutkan peminat apabila membuat keputusan drastik berehat selama setahun daripada dunia lakonan.

Tindakan Amar menjadi tanda tanya kerana kerana ramai menganggap langkah pelakon itu kurang bijak, apatah lagi keputusan dibuat ketika dirinya 'laris' dan menjadi rebutan penerbit drama.

Ada peminat mempersoalkan rasional Amar berehat sedangkan dia cukup berpotensi dan masih baharu dalam industri seni.

Ada juga yang melihat tindakan Amar tidak lebih sekadar gimik biarpun sedar pendukung watak Zain dalam drama Setia Hujung Nyawa itu lebih selesa bergerak di belakang tabir.

Tidak pasti apakah ia sekadar 'drama' atau taktik murahan, terbaharu, Amar memberitahu BH Plus, dia menarik balik keputusan berehat daripada dunia lakonan.

Amar mengaku ketika membuat keputusan itu, dia mahu menumpukan perhatian kepada projek teater. Malah, katanya, soal populariti tidak memberi impak kepada dirinya.

"Biarlah jika ada pihak yang mendakwa saya bagai menjilat ludah sendiri kerana menarik balik kenyataan yang pernah dibuat. Benar, ketika itu, saya ingin berehat dalam bidang lakonan sekurang-kurangnya selama setahun kerana ingin memberi fokus kepada dunia teater.

"Namun, hasrat itu ditentang isteri dan pengurus saya kerana menganggap bidang teater dalam portfolio saya belum cukup kuat lagi. Selepas mengambil kira pandangan mereka, saya membuat keputusan menangguhkan hasrat berehat sebagai pelakon," katanya.

Amar berkata, dia mahu memperlahankan kerjaya lakonan dan memilih naskhah yang difikirkan sesuai dengan dirinya.

"Kepuasan daripada watak yang ditawar menjadi kriteria dalam saya memberi persetujuan. Tak mahulah saya dilihat sering membawa watak sama saja," katanya.

AMAR Asyraf (kiri) bersama isterinya, Arna Salleh. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

PELAKON Amar Asyraf sebagai pengarah teater Zulaikha yang bakal dipentaskan di Ipoh. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Isteri tidak kongkong

Amar atau nama sebenarnya, Amar Asyraf Zailuddin menjelaskan, dia tidak merajuk dengan penerbit atau dikongkong isteri hingga membuat keputusan drastik berhenti berlakon.

Sebelum ini, peminat melihat selepas mendirikan rumah tangga bersama Arna Salleh, 33, pada tahun 2013, nama Amar tiba-tiba tenggelam daripada radar dunia hiburan. Kelibatnya dilihat 'tenggelam-timbul' dalam kaca televisyen (TV) hingga menimbulkan persoalan.

"Tidak timbul istilah saya merajuk atau sebagainya. Malah, isteri saya juga tidak mengongkong kerana memahami kerjaya saya sejak dulu lagi. Kenyataan dibuat terbit dari hati saya sendiri, faktor utama kerana cinta saya terhadap bidang teater.

"Saya tidak mahu bidang teater lenyap begitu saja. Namun, saya akur ada tanggungan dan perlu meletakkan keluarga sebagai keutamaan. Lagipun, saya tidak mahu mengecewakan penerbit dan pengarah yang beriya memberi saya tawaran berlakon," katanya.

Bercerita mengenai kerjaya, Amar memberitahu, dia sudah memulakan penggambaran Terlajak Sudah Rindu arahan Ismail Yaakob sebanyak 20 episod untuk slot Azalea siaran TV3.

AMAR Asyraf bersama keluarganya ketika menunaikan umrah.

Hilang nenek tersayang

Dalam perkembangan lain, Amar berkongsi rasa terkilan dengan pemergian neneknya ke rahmatullah, Jumaat lalu.

Cerita Amar, neneknya menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun selepas koma sebulan. Semuanya berpunca apabila nenek kesayangannya terjatuh di tandas ketika menunaikan umrah bersamanya, Januari lalu.

"Selepas insiden itu, nenek enggan berjumpa doktor. Namun, selepas mengadu sakit, kami membawanya ke hospital.

"Doktor mengesahkan nenek perlu menjalani pembedahan kerana tulang pinggangnya patah. Sebaik dibedah, nenek koma akibat komplikasi hinggalah dia menghembuskan nafas terakhirnya," katanya.

Amar berkata, jenazah arwah neneknya dikebumikan di Pengkalan Balak, Melaka.

"Saya terkilan kerana tidak sempat berada di sisi nenek ketika menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 3 pagi.

"Saya menyesal kerana tidak mengikut kata isteri untuk pulang melawat nenek. Menyesal tidak sudah apabila menerima panggilan telefon yang memaklumkan nenek sudah tiada.

"Saya dibesarkan nenek dan pemergiannya memberikan kesan mendalam buat saya," katanya.

Berita Harian X