Rabu, 16 March 2016 | 8:30pm

Hutan terbakar di Sungai Siput berjaya dipadamkan


BOMBA melakukan pemantauan selepas kebakaran berjaya dipadamkan di kawasan hutan seluas 40 hektar di Kampung Lawai. - Foto Ihsan Bomba

SUNGAI SIPUT: Kawasan hutan seluas 40 hektar di Kampung Lawai, di sini, terbakar kira-kira jam 2 petang semalam sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 3.30 petang tadi.

Dalam kejadian itu, bomba menerima panggilan orang awam jam 2.38 petang kelmarin sebelum anggota dari beberapa balai bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dan memulakan operasi jam 3.40 petang.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Ruhisha Haris berkata, keseluruhan kebakaran itu berjaya dipadamkan jam 1.38 petang semalam sebelum operasi pemantauan dijalankan di sekitar kawasan kebakaran.

"Keseluruhan kawasan terbakar adalah kira-kira 30 hektar dan pihak bomba turut mendapat bantuan daripada agensi lain seperti polis, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Orang Asli.

"Dalam proses pemantauan, kita memecahkan anggota kepada beberapa kumpulan dan pemantauan dijalankan tidak lagi mengesan kemerebakan api sebelum operasi ditamatkan jam 3.30 petang tadi," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Ruhisha berkata, siasatan awal dijalankan mendapati punca kebakaran adalah daripada pembakaran tanpa kawalan dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, kebakaran itu hanya merebak di sekitar kawasan hutan berikutan kawasan perumahan terletak agak jauh kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

Berita Harian X