Rabu, 16 March 2016 | 5:04pm

Azizuhasni optimis peluang raih emas Olimpik cerah


PELUMBA basikal trek, Azizulhasni Awang. - Foto Iqmal Haqim Rosman

SHAH ALAM: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang yakin beliau mempunyai peluang membawa pulang pingat emas pertama negara dalam temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos ini.

Katanya, semua persiapan latihan dan teknikal hanya kini tertumpu kepada acara keirin bagi temasya kali ini, berbanding penyertaannya dalam dua Sukan Olimpik yang lepas.

Pada kejohanan Olimpik Beijing dan London, pelumba kelahiran Terengganu itu menyertai acara keirin dan pecut.

"Saya yakin dengan peluang untuk menang dalam acara keirin nanti. Segala persiapan telah dirangka rapi dengan fokus utama adalah untuk meningkatkan kekuatan bahagian tubuh bawah.

"Latihan kali ini juga akan memberi penekanan dari segi taktikal bagi mengelak daripada diperangkap oleh pelumba lain seperti berlaku dalam Kejohanan Trek Dunia UCI pada 6 Mac lalu," katanya dalam sidang akhbar selepas program Road to the Olympic di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Dalam kejohanan di Lee Valley Velopark, Stratford, London itu, Azizulhasni hampir mengalami kemalangan pada pusingan pertama kerana dihimpit pelumba Poland dan tuan rumah menyebabkan beliau terpaksa berlumba di pusingan 'repecharge' sebelum berjaya meraih pingat gangsa acara keirin.

Pingat emas acara itu dimenangi pelumba Jerman, Joachim Eiler dan pingat perak milik pelumba dari New Zealand, Eddie Dawkins.

Terdahulu, pada program Road to The Olympic itu, Azizulhasni meluangkan masa kira-kira setengah jam berkongsi pengalaman dan cabarannya untuk menjadi jaguh berbasikal negara bersama 100 pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM. - BERNAMA

Berita Harian X