Rabu, 16 March 2016 | 4:05pm
EZZATY Abdulllah bersama Azwan Kombos di Majlis Tayangan perdana Filem Mirip di TGV One Utama. - Foto Zunnur Al Shafiq

Ezzaty enggan bertunang lama-lama

KUALA LUMPUR: Pelakon Ezzaty Abdullah, 26, mengambil keputusan mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Azwan Kombos, 31, dalam tempoh singkat kerana serik dengan kegagalan percintaan lalu.

Ezzaty berkata, majlis merisik yang berlangsung di kediamannya di Bentong, Pahang, Isnin lalu sudah lama dirancang. Kedua-dua keluarga bersepakat untuk melangsungkan majlis perkahwinan mereka penghujung tahun ini.

"Rombongan keluarga Azwan sekitar 20 orang datang bagi menyempurnakan majlis merisik di kampung halaman saya di Pahang. Sebenarnya kami sudah lama merancang majlis ini, namun tidak berkesempatan menunaikannya kerana keluarga Azwan jauh di Sabah.

"Memandangkan keluarga Azwan berada di Kuala Lumpur menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya, baru-baru ini, maka kesempatan itu diambil untuk mengadakan majlis merisik. Cuma kami belum mencapai kata putus berhubung tarikh nikah.

"Kalau boleh saya enggan bertunang lama-lama sebab pernah mengalami episod hitam sebelum ini. Saya tidak mahu sejarah itu berulang dan ia memang membuatkan saya serik. Oleh itu, saya meminta untuk bertunang dalam tempoh singkat saja," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, gosip percintaan pasangan ini menjadi bualan hangat apabila Ezzaty membuat kenyataan di sebuah media, dirinya enggan lagi dikaitkan dengan Azwan selepas aktor itu dilihat rapat dengan pelakon wanita baharu.

Bagaimanapun, Azwan menafikan perkara berkenaan, selain menganggap kenyataan yang dikeluarkan Ezzaty terlalu mengikut emosi selain bersikap cemburu.

"Selepas apa yang berlaku, saya nampak kematangan Azwan dalam mengawal keadaan. Dia tidak mudah melatah walaupun ada kalanya saya bersikap emosi dan cemburu.

"Malah, Azwan juga seorang yang jujur dan ikhlas. Melalui pengalaman pahit sebelum ini, sekarang bukan mudah untuk saya mencari lelaki yang jujur. Apabila sudah bertemu dengan pasangan yang serasi, jadi lebih baik untuk terus membawa hubungan ini ke peringkat seterusnya," kata Ezzaty.

Dalam perkembangan lain, Ezzaty sedang menjalani penggambaran drama bersiri Mak Cun 2 arahan pengarah, Erma Fatima.

36 dibaca
Berita Harian X