Rabu, 16 March 2016 | 8:43am

Nadal, Nishikori mudah mara di Indian Wells


AKSI Rafael Nadal ketika bertemu Fernando Verdasco pada pusingan ketiga Indian Wells di California. - Foto AFP

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Pemain nombor lima dunia, Rafael Nadal menang pusingan ketiga Indian Wells selepas menundukkan rakan senegaranya, Fernando Verdasco 6-0, 7-6 (11-9).

Nadal yang juga pilihan keempat kejohanan mara ke kelompok 16 terbaik dan bakal bertemu pemain Jerman, Alexander Zverez yang mudah menewaskan Gilles Simon dengan straight set 6-2, 6-2.

Selain itu, pilihan kelima kejohanan, Kei Nishikori turut mengiringi Nadal ke pusingan sama menerusi kemenangan 7-6(6) 7-6(5) ke atas pemain tuan rumah, Steve Johnson

Pemain Jepun itu yang nampak kurang selesa dengan keadaan angin kencang di Indian Wells menyelamatkan empat mata penentuan pada tiebreak pertama selepas gagal memanfaatkan servisnya ketika kedudukan 5-3 sebelum menang pada aksi yang berlangsung selama dua jam itu.

"Sukar untuk beraksi dalam keadaan yang berangin dan masalah altitud, bola dan semuanya," kata Nishikori.

"Saya bergelut untuk memperaga aksi terbaik dan saya bermain dengan penuh kesabaran hari ini."

Nishikori yang memburu gelaran dunia ATP keduanya musim ini selepas mencatat kemenangan di Memphis, bakal berdepan pilihan kesembilan, John Isner yang merakam 15 ace ketika menundukkan Adrian Mannarino 6-4 7-6(4).

Juara bertahan yang juga pemain nombor satu dunia , Novak Djokovic bakal beraksi hari ini apabila menentang pemain di ranking 27, Philipp Kohlschreiber. - Reuters

Berita Harian X