Rabu, 16 March 2016 | 7:51am

Tan-Muhd Rafiq kekal emas untuk KL


MUHD Rafiq Ismail (kiri) dan Timmy Tan mengekalkan pingat emas acara beregu lelaki buat Kuala Lumpur.

PETALING JAYA: Biarpun baru pertama kali digandingkan, Timmy Tan-Muhd Rafiq Ismail mengekalkan pingat emas acara beregu lelaki buat Kuala Lumpur pada Kejohanan Boling Antara Negeri edisi ke-29, semalam.

Pada edisi lalu, pingat emas acara itu milik Kuala Lumpur menerusi gandingan Muhd Rafiq-Muhd Syafiq Ridhwan Abdul Malek.

Pada saingan semalam yang berlangsung di Mega Lanes, Sunway Pyramid dekat sini, Muhd Rafiq-Tan melakukan 2,566 jatuhan pin untuk berada selesa di kedudukan teratas.

Pasangan Pulau Pinang, Adrian Ang-Mohamad Faiz Shahruddin dengan catatan 2,472 jatuhan pin meraih pingat perak, manakala gangsa milik pasangan Sarawak, Ervin Lim-Muhd Syafiq Sajeli yang mengumpul 2,423 jatuhan pin.

"Saya gembira pingat emas kekal milik Kuala Lumpur walaupun bersama pasangan lain. Saya bermula tidak berapa baik tetapi Tan banyak membantu, untuk kami mengatasi pasangan lain," kata Muhd Rafiq.

Muhd Rafiq-Tan pernah bergandingan pada Kejohanan Tenpin Boling Asia di Bangkok tahun lepas, menyaksikan mereka menamatkan cabaran di tempat keempat.

"Kami memang berkawan baik dan saya selesa digandingkan dengan Rafiq kerana ia memudahkan kami berinteraksi walaupun jarang bergandingan bersama," kata Tan.

Kemenangan Muhd Rafiq-Tan itu juga adalah pingat emas pertama buat Kuala Lumpur pada kejohanan berkenaan.

Sementara itu, dalam kategori wanita, pingat emas milik Selangor menerusi gandingan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman-Natasha Roslan dengan 2,442 jatuhan pin.

Pasangan Kuala Lumpur, Nur Syazwani Sahar-Nora Lyana Nastasia Norkamal yang mencatat 2,406 jatuhan pin memenangi pingat perak, manakala pingat gangsa diraih Nor Syazana Mohd Rusli-Sin Li Jane dari Perak, setelah melakukan 2,395 jatuhan pin.

Pada hari kedua kejohanan itu, Selangor menghuni kedudukan teratas dalam carta pungutan pingat, dengan tiga pingat emas dan satu perak, diikuti Sarawak (dua emas, satu gangsa) manakala Negeri Sembilan di tempat ketiga (dua emas). - BERNAMA

Berita Harian X