Rabu, 16 March 2016 | 12:15am
FAZLAN dan Anum saling memberi semangat antara satu sama lain demi membina kecergasan dan kesihatan bersama. Foto Saifullizan Tamadi
ANUM dan Fazlan berkongsi hobi sama iaitu gemar makan tanpa menghiraukan obesiti yang dialami mereka.
PASANGAN Anum dan Fazlan pada hari perkahwinan mereka selepas masing-masing berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 40 kilogram.
BERAT Anum pernah mencapai 110 kilogram hingga menyebabkan dia berdepan masalah kesihatan.

Berat turun 40kg empat bulan


KUALA LUMPUR: "Jaga pemakanan dan elakkan diet ekstrem untuk sihat" itu ingatan pasangan Azizatil Anum Omar dan suaminya, Ahmad Fazlan Ghazalli, yang masing-masing berjaya menurun berat badan kira-kira 40 kilogram dalam masa empat bulan.

Mesra dengan panggilan Anum, 32, juara musim pertama program Jom Kurus 1Malaysia (JK1M) itu berkata, dua perkara terbabit adalah kunci utama dalam menjaga serta mengekalkan tahap kesihatan.

Tabiat pemakanan katanya, menyumbang sebahagian besar daripada pembentukan kadar kesihatan setiap manusia.

Menurut beliau, jenis pemakanan diambil juga harus dikawal mengikut kiraan kalori yang tepat bagi keperluan setiap individu.  


FAZLAN dan Anum membuktikan hanya kemahuan diri mampu membantu seseorang yang gemuk untuk mendapatkan tubuh badan yang lebih sihat. Foto Saifullizan Tamadi

"Kita selalu ingat bahawa kadar kesihatan manusia ditentukan oleh senaman dan aktiviti sukan yang dilakukan, tapi sebenarnya faktor pertama ialah pemakanan.

"Senaman dan sukan hanya menyumbang kepada 30 peratus tahap kesihatan kita," katanya kepada BH ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sebelum berkahwin pada Mei tahun lalu, pasangan Anum dan Fazlan, 34, masing-masing memiliki berat badan sebanyak 110 serta 130kg.

Kedua-duanya berkongsi minat yang sama sepanjang perkenalan mereka iaitu makan. Setiap aktiviti yang mereka lakukan berdua hanya berkisarkan kepada pemakanan semata-mata.

Ke mana sahaja pasangan itu sanggup pergi untuk mencuba pelbagai jenis makanan, walaupun perlu memandu dalam jarak yang jauh.

Mereka tidak pernah terfikir menguruskan badan sehinggalah keluarga sepakat menyatukan kedua-duanya sebagai suami isteri. 


PASANGAN Anum dan Fazlan pernah memiliki berat badan 110 serta 130 kilogram .

Secara kebetulan, Anum pada waktu itu diserang sakit di bahagian dada yang agak serius hingga sukar bernafas, segala-galanya kerana tabiat pemakanan yang tidak terkawal.

"Kesilapan saya lakukan dahulu ialah makan apa sahaja, tanpa mengira sama ada baik untuk tubuh dan kesihatan.

"Ia menyebabkan berat saya semakin bertambah kerana pemakanan yang tidak sihat, sehingga diserang sakit di bahagian dada dan sukar bernafas," katanya yang juga pemenang tempat ketiga JK1M musim ketiga.

Eksekutif Teknologi Maklumat itu bagaimanapun tidak berjumpa doktor kerana takut dengan keputusan diagnosis yang bakal diperoleh, sebaliknya memilih mengubah cara hidup serta merta.

"Itu juga menjadi titik tolak penyertaan saya dalam JK1M, yang turut disertai Fazlan yang kini bergelar suami.


FAZLAN dan Anum sering bersenam bersama di CHi Fitness IKON Connaught. - Foto Saifullizan Tamadi

"Saya bertekad, cara hidup kami yang hanya berkisarkan kepada makanan lazat semata-mata harus berubah untuk menjadi lebih sihat," katanya.

Perubahan dilakukan Anum berjaya membantunya menurunkan berat badan, daripada 110 kilogram (kg) kepada 73kg.

"Dari gemuk, saya bertukar terlalu kurus pula, sampaikan tukang jahit merayu supaya saya tidak kurus lagi kerana baju pengantin yang ditempah sudah tidak boleh diubah suai," katanya sambil tertawa mengenangkan insiden itu. 

Berbekalkan ketinggian 174cm yang dimilikinya, Anum berkata, berat ideal untuknya adalah sekitar 74 hingga 75kg.

Sementara itu, Fazlan yang juga bekas atlit angkat berat kebangsaan bagi kategori di bawah 77kg itu pada mulanya tidak merasakan dia perlu menurunkan berat badan.

"Waktu itu sebenarnya kawan-kawan sering mengutuk, ada yang kata saya kelihatan seperti bapa orang, ada juga yang kata kelihatan seperti gergasi.

"Saya seolah-olah tak mahu menerima hakikat yang berat badan saya berlebihan, malah tidak keterlaluan jika dikatakan berada di peringkat obesiti," kata guru subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Moral itu.


ANUM dan Fazlan kini mengharungi kehidupan yang lebih sihat setiap hari. Foto Saifullizan Tamadi

Katanya, keadaan itu berterusan walaupun dia mula berdepan dengan beberapa gangguan kesihatan, termasuk sukar bernafas dan cepat berasa letih.

"Sampai satu ketika, bila saya mahu naik tangga di sekolah tempat mengajar, saya terpaksa berpaut pada dinding kerana tak larat," katanya.

Baik Fazlan mahupun Anum sepakat menyatakan bahawa JK1M hanya pemudah cara, tetapi iltizam sebenar untuk kekal sihat harus datang dari dalam diri mereka sendiri.

"Sebenarnya selepas musim JK1M berakhir, berat kami tidak turun dengan drastik. Yang banyak membantu adalah tabiat pemakanan kami yang berubah 360 darjah.

"Kami meninggalkan sepenuhnya makanan yang tidak sihat. Tiada lagi makanan berkolesterol atau berkalori tinggi dan tiada lagi minuman berkarbonat yang selama ini menjadi kemestian," kata Anum.

Pasangan suami isteri itu juga menolak sepenuhnya penggunaan sebarang produk pelangsingan atau menguruskan badan kerana ia hanya akan memberi kesan sampingan pada kesihatan.

"Apa yang saya lihat, ramai rakyat negara ini masih percaya dan bergantung sepenuhnya kepada produk seumpama itu untuk kurus.


FAZLAN dan Anum, pasangan yang pernah gemuk bersama, kini berjaya mendapat bentuk tubuh yang ideal bersama. Foto Saifullizan Tamadi

"Mereka sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk memperoleh bentuk tubuh dan berat badan idaman, tetapi begitu kedekut meluangkan masa untuk aktiviti serta kaedah yang lebih sihat," kata Anum.

Senario itu jelas Azlan pula, dapat dilihat pada ratusan jenis produk yang sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan, walaupun keberkesanannya belum terbukti.

"Apa yang mereka tak tahu, ramai di antara pengguna kembali mengalami masalah berat badan sebaik berhenti menggunakan produk berkenaan.

"Bukankah lebih baik jika menggunakan kaedah yang terbukti selamat dan percuma, iaitu bersenam dan menjaga makan," katanya.

Fazlan yang kini sedang menyambung pengajian peringkat Sarjana dalam jurusan Sains Sukan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), berkata bersenam di gimnasium kini telah menjadi rutin dia dan Anum.

"Walaupun kami berjaya mengurangkan berat badan dalam jumlah yang banyak, saya masih belum berpuas hati. Saya masih ada kira-kira 7kg lagi yang perlu dikurangkan bagi mencapai berat badan ideal," katanya.


FAZLAN dan Anum menjaga amalan pemakanan dan bersenam sebagai cara mudah menjaga kesihatan diri mereka. Foto Saifullizan Tamadi

Tips pemakanan sihat Anum dan Fazlan

Sarapan pagi (sebelum bersenam)
7 pagi hingga 8 pagi
- Setengah sudu besar madu kelulut dibancuh air suam
- oat

10 pagi
- Buah-buahan (elakkan buah-buahan manis berkalori tinggi seperti mangga, rambutan, longan, dll)

Tengahari dan malam
- Nasi dan lauk (lebihkan pengambilan sayur-sayuran)
- Elakkan makanan berminyak, berlemak, berkalori tinggi, air berkarbonat, kordial.

                 

Berita Harian X