Selasa, 15 March 2016 | 5:29pm

JDT sasar 3 mata, Loa Toyota FC mahu lakukan kejutan


JURULATIH JDT, Mario Gomez (kiri) bersama pemain JDT, Aidil Zaquan ketika sidang media saingan kumpulan (H) Piala AFC di Hotel Thistle, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) tetap meletakkan sasaran tiga mata untuk menamatkan saingan pusingan pertama Kumpulan H Piala AFC dengan kemenangan 100 peratus apabila berdepan kelab Loa Toyota FC pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Apapun, pengendali JDT, Mario Gomez mengesahkan akan ada rombakan di posisi serangan dan tengah apabila berdepan skuad kendalian Phomphakdy Valakong yang turut mengintai memburu kemenangan pada aksi itu.

Kemungkinan tiga pemain import skuad Harimau Selatan, Jorge Pereyra Diaz, Juan Martin Lucero dan Hariss Harun tidak akan bermula dalam kesebelasan utama. Mereka dan kapten Safiq Rahim kemungkinan berada di bangku simpanan.

"Saya perlu buat rombakan kerana kita ada satu lagi tugas iaitu saingan suku akhir Piala FA, Sabtu ini. Langkah yang dibuat ini tidak semestinya kita tidak mahu menang sebaliknya sasaran tetap diletak untuk memburu tiga mata.

"Walaupun kami sudah menang dua perlawanan lalu, pertembungan menentang kelab dari Loas bukanlah aksi mudah malah saya ramalkan persaingan tetap sengit kerana pasukan itu juga mengidam untuk menewaskan JDT.

"Saya sudah kaji corak permainan pasukan lawan selepas melihat rakaman video walaupun mereka tewas 4-2 kepada Ayeyawady United, saya jangkakan pasukan itu akan tampil dengan corak permainan berbeza dan kita perlu berwaspada," kata Gomez.

Bagi menguatkan posisi sayap kiri dan kanan kemungkinan Gomez bakal mempertaruhkan Mohd Nazrin Nawi dan S Chanthuru manakala posisi tengah akan dikemudi Mohd Amirul Hadi Zainal dan Jasazrin Jamaluddin.

Posisi serangan skuad Harimau Selatan pula akan menggandingkan Safee Sali dan Mohd Amri Yahyah.

Sementara itu, Valakong mengakui betapa JDT adalah pasukan terkuat dalam kumpulan itu dan agak sukar untuk menewaskan anak didik Gomez tatkala pasukan itu memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Namun saya tetap optimis kesebelasan utama yang bakal diturunkan mampu mengimbangi kekuatan JDT, malah kemenangan juara Piala AFC 2015 ke atas Bengaluru FC 1-0, baru-baru ini memberi lebih keyakinan kepada kami untuk bangkit melakar kemenangan.

"Kami pernah tewaskan kelab dari India itu 2-1 pada aksi pertama dan tidak mustahil untuk kami mengejutkan JDT. Saya ada empat pemain import dari Jepun yang mampu galas tugas merobek gawang JDT," kata Valakong.

Berita Harian X