Jumaat, 24 Oktober 2014 | 3:22pm

Hart gesa City bangkit ubati duka di Moscow


PENJAGA gol Manchester City, Joe Hart (kanan) bersalaman dengan penjaga gol CSKA Moscow, Igor Akinfeev selepas tamat perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Arena Khimki, Moscow pada 21 Oktober lalu. - Foto AFP

MANCHESTER: Penjaga gol England, Joe Hart menjangkakan Manchester City akan bangkit daripada kekecewaan di Liga Juara-Juara Eropah dan kembali mencabar dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika menentang West Ham, esok.

City melepaskan kelebihan dua gol ketika menantang CSKA Moscow, Rabu lalu untuk sekadar seri 2-2 yang menyaksikan juara Inggeris itu menghuni tangga ketiga Kumpulan E selepas sekadar mengumpul dua mata daripada tiga perlawanan.

Dan Hart yang masih belum mengibar bendera putih dalam kempen di Eropah itu percaya City akan bangkit dan mencatat kemenangan keempat berturut-turut EPL musim ini dan merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Chelsea kepada dua mata.

Chelsea akan bertemu Manchester United pada Ahad.

"Ia pasti menjadi sesuatu yang sukar namun kami lebih daripada berupaya untuk layak dalam kumpulan ini di Liga Juara-Juara Eropah," kata Hart.

"Kami akan bertemu CSKA di laman sendiri selepas ini dan kami tidak perlu fokus kepada perkara itu terlebih dulu dan membiarkan perkara yang lain.

"Namun falsafah kelab ini ialah memberi tumpuan kepada satu demi satu perlawanan terlebih dulu. Ia memang bermakna namun kami perlu berkunjung ke West Ham.

"Kami berjaya memperoleh keputusan yang baik menentang Tottenham minggu lalu. Ia adalah minggu yang sukar namun kami perlu teruskan perjuangan."

Rekod City di laman lawan ketika ini sebaik Chelsea selepas mencatat tiga kemenangan dan sekali seri dan tidak pernah tewas dalam 10 perlawanan terakhir menentang West Ham. - AFP

Berita Harian X