Selasa, 15 March 2016 | 7:48am
AHMET Davutoglu (kanan) dan isteri, Sare Davutoglu melawat mangsa serangan bom di Ankara. - Foto Reuters

11 suspek serangan bom Ankara ditahan

ANKARA: Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu berkata pihak berkuasa sudah menahan 11 suspek yang ada kaitan dengan pengeboman, di sini yang mengorbankan 37 nyawa setakat ini.

Beliau turut memberitahu wartawan ada petanda yang kuat mengatakan serangan keganasan itu dilakukan oleh pemberontak Kurdis.

Semalam, kerajaan Turki bertindak balas dengan mengarahkan pesawat tentera membedil pangkalan pemberontak Kurdis di kawasan pergunungan di utara Iraq selepas Ankara mendakwa mempunyai bukti pemberontak terbabit bertanggungjawab melaksanakan serangan bom bunuh diri itu.

Sambil itu, Davutoglu menambah ujian DNA untuk mengenal pasti dua pengebom nekad diteruskan.

Pemimpin itu turut menyatakan bahawa pihak kerajaan bertekad menyambung misi melawan pemberontak sehingga mereka dikalahkan.

Agensi berita rasmi Anadolu pula melaporkan polis menahan empat orang di tenggara Turki semalam berhubung kenderaan yang digunakan dalam serangan bom kereta kelmarin.

Ia memetik sumber keselamatan sebagai berkata, empat ditahan di bandar Sanliurfa yang terletak di utara sempadan Syria, selepas mendapati kenderaan itu dibeli dari bilik pameran kereta di sana.

Empat suspek itu akan dibawa ke Ankara.

Sementara itu, pemimpin dunia tampil mengutuk serangan itu, termasuk Perdana Menteri Britain, David Cameron yang menyifatkannya sebagai 'mengejutkan' manakala Menteri Luar Perancis berkata ia sebagai 'serangan pengecut'.

Presiden Russia, Vladimir Putin berkata ia 'tiada sifat kemanusiaan' dan ketika sama Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg meminta anggota badan itu bersatu dengan Turki melawan keganasan. - Agensi

Berita Harian X