Selasa, 15 March 2016 | 12:13am
KEINDAHAN landskap rumah bernombor 65 di Blok 3, Felda Lui Barat ini membuatkan ia sering menjuarai pertandingan kecantikan kediaman. - Foto Iqmal Haqim Rosman
RUMAH Wak Amat dekat Felda Lui Barat, Jempol, sering jadi tarikan kerana dihias indah dengan landskap yang menarik. . - Foto Iqmal Haqim Rosman
AMAT dan Manisah menunjukkan replika rumah asal yang pernah didiami peneroka Felda Lui Barat, Jempol. - Foto Iqmal Haqim Rosman
TANDAS juga tidak terkecuali daripada menerima sentuhan kreatif Wak Amat. Foto Iqmal Haqim Rosman
HIASAN halaman rumah penduduk, Amat Mingan di FELDA Lui Barat, Jempol. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Wak Amat jaguh rumah cantik 'pencen'


BANDAR SERI JEMPOL: "Tak payahlah wak masuk bertanding lagi, nanti orang lain patah semangat sebab tahu memang tak boleh menang".

Ungkapan itu sering disampaikan kepada Amat Mingan, 66, yang mesra dengan panggilan Wak Amat, kerana beliau adalah jaguh pertandingan rumah cantik dalam kalangan peneroka FELDA Wilayah Raja Alias, Jempol.

 

Hampir setiap tahun rumah bernombor 65 di Blok 3, FELDA Lui Barat itu, menjadi johan serta mewakili FELDA Wilayah Raja Alias ke pertandingan peringkat kebangsaan, menyebabkan beberapa tahun lalu, penganjur bertemunya secara baik meminta melupakan acara itu.

"Sebagai menghargai kesudian mengundurkan diri, wak diberi cenderahati setiap kali pertandingan diadakan," katanya.

Hebat sangatkah rumah Wak Amat hingga diminta tidak menyertai pertandingan kecantikan di antara kediaman itu?

Menyaksikan sendiri rumah peneroka perintis FELDA Lui Barat, mata terpegun dan akur terhadap keunikan kediamannya.

Dia yang bekerja sebagai pekerja ladang getah di Segamat, Johor, bersama isterinya, Manisah Parno, 58,  berhijrah ke Negeri Sembilan, sejak awal 1980-an untuk mengubah taraf hidup mereka.


HALAMAN rumah dipenuhi landskap yang menggabungkan pokok bunga, hiasan berasaskan batu, kolam dan wakaf. - Foto Iqmal Haqim Rosman

AMAT dan isteri menunjukkan kawasan taman rumah mereka yang dihias. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Ketika datang ke sini, rumah yang disediakan kecil dan hanya mempunyai satu bilik. Memang tidak sesuai jika ramai anak," katanya yang mempunyai empat anak.

 

Apabila anak semakin membesar, Wak Amat membuat keputusan turut membesarkan rumahnya yang dilakukan seorang diri.

"Saya tak mampu upah orang. Selepas pulang dari menoreh getah pada waktu tengah hari, saya akan bertukang. Jika bulan terang, saya akan bekerja hingga lewat malam," katanya tidak pernah belajar bertukang secara formal.

 

Ketika itu, katanya tenaga masih kuat kerana umur muda lagi menyebabkannya mampu bekerja seorang diri, berbekalkan gergaji dan tukul.  

Antara keunikan rumahnya ialah halaman rumah dipenuhi landskap yang menggabungkan pokok bunga, hiasan berasaskan batu, kolam dan pondok wakaf yang bukan sahaja dibuat sendiri, malah menggunakan bahan kitar semula seperti batang paip, tayar, basikal lama dan serpihan jubin.

Halaman yang menghijau pula mengambil masa bertahun-tahun untuk sempurna dengan rumput yang hanya mampu dibeli sedikit ditanam hingga berakar kuat dan kemudian dipindahkan sedikit demi sedikit ke kawasan tanah merah lain.     

"Wak tak pernah beli. Untuk buat hiasan batu, wak ambil batu yang orang buang apabila membuat pengubahsuaian rumah. Jubin pula wak pergi kedai jubin di Bahau dan ambil serpihan yang kedai tak pakai lagi," katanya.


AMAT dan isteri menunjukkan kawasan taman rumah mereka yang dihias. - Foto Iqmal Haqim Rosman

MOHD Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Shahrom (kanan). - Foto Osman Adnan

Bagi Wak Amat, paling penting adalah idea dalam kepalanya yang mengubah bahan terpakai menjadi sebahagian landskap yang cantik.

Selain landskap dan rumah yang berbentuk memanjang, dia pandai membuat perabot dan hiasan dalam rumah yang juga menggunakan bahan terpakai, termasuk batang kayu dari kebun getah yang kini berada di ruang tamu selepas dibersihkan dan disapu varnis.

Set perabot di luar rumah pula menggunakan kotak kayu yang diminta daripada anaknya yang bekerja di sebuah kilang. Terbaharu, Wak Amat mengambil tempahan membuat model rumah asal FELDA yang hanya menggunakan kayu dan kertas kotak.

"Ada orang minta saya buat rumah itu. Bagus juga buat kerana generasi muda tidak pernah melihat rumah asal FELDA. Apabila dipamerkan di ruang tamu, kita dapat merasai perjuangan generasi pertama yang bekerja keras dan hasilnya dinikmati oleh generasi kedua dan ketiga," katanya.

Jika Amat hebat di laman, Manisah pula bijak menghias dekorasi rumah itu dengan gaya tersendiri yang bukan saja tersusun, malah amat bersih.

Melalui kemahiran yang dipelajari di kelas anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), dia mahir membuat pokok hiasan menggunakan manik dan dawai yang dijual antara RM100 hingga RM300 sepokok.

 

gn4id:12501060


ANTARA koleksi sijil kemenangan yang diterima Amat menerusi pertandingan kecantikan kediaman yang disertai selama ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Semua anak-anak pasangan itu, termasuk seorang perempuan juga mewarisi bakat ibu bapa mereka yang pandai bertukang termasuk seorang anaknya mahir mengubah suai motosikal.

Apabila ditanya kepuasannya memiliki rumah yang menjadi tumpuan ramai, Wak Amat melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan FELDA yang membolehkannya memiliki kebun getah dan rumah.

"Ramai orang datang meminta izin untuk mengambil gambar rumah saya, malah mungkin sudah tersebar ke luar negara," katanya yang menceritakan mengenai seorang lelaki warga Pakistan datang dan menyatakan kekaguman terhadap rumahnya.

Malah, katanya ada pengantin baharu menjadikan rumahnya sebagai lokasi mengambil gambar dan video hari bahagia mereka.

Seramai 10 cucu pasangan itu juga suka pulang ke kampung kerana ada kolam buatan sendiri di halaman rumah selain turut memahami minat datuk mereka dengan tidak merosakkan bahan hiasan luar dan dalam rumah.

"Saya rasa cukuplah apa yang ada sekarang dan tidak merancang mencantikkan lagi rumah," katanya sambil mengungkapkan bahasa Jawa, `ngombe disek'  atau jemputlah minum ketika mengakhiri perbualan.

Berita Harian X