Isnin, 14 March 2016 | 9:03pm

Remaja cari kepah lemas di Lagun Sri Tujoh


MISI mencari dan menyelamat mangsa lemas, Nik Mohd Syafawi Mohd Noor, dijalankan seramai 11 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari balai bomba Pengkalan Kubor di lagun Sri Tujoh, berhampiran Kampung Jubakar Pantai, Tumpat. - Foto Siti Rohana Idris

TUMPAT: Hasrat mencari kepah bertukar menjadi tragedi apabila seorang remaja berusia 18 tahun lemas di Lagun Sri Tujoh, berhampiran Kampung Jubakar Pantai di sini, petang tadi.

Mangsa, Nik Muhammad Syafawi Mohd Noor, lemas di lagun terbabit kira-kira jam 4.30 petang tadi sebelum mayatnya dijumpai nelayan pada jam 7.45 petang.

Sebelum itu, mangsa bersama lapan lagi rakannya mencari kepah di tempat kejadian sejak jam 3 petang sebelum air pasang secara tiba-tiba.

Seorang remaja yang menyertai kumpulan terbabit, Mohd Zulkarnain Mohd Sabri, 17, berkata kira-kira jam 4.30 petang, air di lagun itu mula pasang dan mereka membuat keputusan untuk beredar ke daratan.

"Ketika enam daripada rakan selamat sampai ke daratan, saya bersama Nik Mohd Syafawi dan Shahrul Alif Yaakob, 16, masih lagi menyeberanginya.

"Tiba-tiba Nik Mohd Syafawi menarik saya dengan kuat kerana dia tidak pandai berenang.

"Saya cuba menolaknya kerana saya sendiri rasa seperti ingin lemas dan dia (Syafawi) ketika itu berpaut pada sebuah tong mula tenggelam.

"Shahrul Alif pula sempat meminta tolong dan diselamatkan seorang pemancing yang kebetulan berada berhampiran," katanya yang sempat berenang ke darat.

Misi mencari dan menyelamat dijalankan seramai 11 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba Pengkalan Kubor.

Ketua Balai, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan jam 5.22 petang dan tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

Berita Harian X