Isnin, 14 March 2016 | 12:41pm

Cuaca panas melampau bukan kerana ekuinoks

KUALA LUMPUR: Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) menafikan dakwaan kononnya keadaan cuaca panas melampau ketika ini adalah disebabkan fenomena ekuinoks.

Pegawai Sains ANGKASA, Mohd Zamri Shah Mastor, berkata fenomena berkenaan tidak akan membawa perubahan cuaca melampau dan ia berlaku dalam masa sehari sahaja pada 20 Mac ini. 

"Ekuinoks hanya mengambil masa sehari dan peningkatan suhu di negara kita ketika ini tiada kaitan dengan fenomena berkenaan," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Beliau berkata, apabila ekuinoks, seluruh dunia akan mengalami waktu siang dan malam sama panjang, masing-masing 12 jam dan matahari dijangka berada tegak di atas kepala pada waktu tengah hari, bergantung kepada waktu tempatan masing-masing.

"Apabila matahari tegak di atas kepala, kita tidak dapat melihat bayang-bayang sendiri seperti biasa. Rakyat Malaysia akan merasai pengalaman seperti itu beberapa hari selepas fenomena berkenaan," katanya.

Berita Harian X