Isnin, 14 March 2016 | 8:38am

Van Gaal yakin pulihkan United


PENGENDALI Manchester United, Louis van Gaal melambai ke arah penonton sebelum perlawanan bermula di Old Trafford. - Foto Reuters

MANCHESTER: Jaringan penyamaan Anthony Martial memberikan 'talian hayat' buat United apabila mereka berjaya mengikat West Ham United 1-1 pada aksi suku akhir Piala FA yang berlangsung di Old Trafford, malam tadi.

Jaringan Dimitri Payet menerusi sepakan percuma hampir menyingkirkan juara 11 kali itu sebelum Martial meledak gol penyamaan lapan minit sebelum perlawanan tamat membolehkan United mengheret perlawanan kepada aksi ulangan.

Selepas The Red Devils tewas 2-0 di tangan Liverpool pada aksi kelompok 16 terbaik Liga Europa dan ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu liga, Leicester City, jaringan penyerang muda Perancis itu setidak-tidaknya melegakan pengendali United, Loius Van Gaal.

"Saya gembira anak buah saya menunjukkan kesungguhan selepas mengharungi minggu yang kurang baik," kata Van Gaal kepada BT Sport.

"Kami beraksi menentang Liverpool pada pertengahan minggu manakala West Ham United mempunyai tempoh seminggu untuk melakukan persiapan. Jadi saya perlu memuji anak buahnya saya selepas kepenatan menentang Liverpool."

Sementara itu, pengurus 'The Hammers', Slaven Bilic berpendapat dua keputusan yang tidak tepat daripada pengadil mengakibatkan pasukan terlepas slot ke separuh akhir.

Dia merasakan Marcos Rojo menjatuhkan Payet di dalam kotak penalti dan yakin Bastian Schweinsteiger melakukan kekasaran ke atas penjaga golnya, Darren Randolph, yang membawa kepada jaringan penyamaan buat United.

'Ianya jelas bahawa Schweinsteiger melakukan kekasaran ke atas Randy. Dia sepatutnya boleh menangkap bola itu," katanya. - Reuters

30 dibaca
Berita Harian X