Isnin, 14 March 2016 | 12:11am
BALAT sejenis hidupan laut unik yang dianggap makanan mewah dan berkhasiat. - Foto Malai Rosmah Tuah
SUASANA di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu yang menjual pelbagai jenis produk hasil laut kering. - Foto Malai Rosmah Tuah
BALAT boleh didapati di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu termasuklah harimau hitam dan 'ti bo sam' yang berwarna coklat dan berkulit licin. - Foto Malai Rosmah
HANYA balat yang benar-benar kering dan keras boleh dimasak dan dimakan. - Foto Malai Rosmah
RAMAI penggemar balat sanggup membelinya walaupun mahal kerana percaya ia boleh menguatkan tulang dan mengekalkan kesihatan badan. - Foto Malai Rosmah
BALAT kering dianggap produk bernilai tinggi dan turut menjadi daya tarikan tambahan kepada pengunjung dan pelancong ke Sabah. - Foto Malai Rosmah
CONTOH spesis hidupan di dasar laut. - Foto flickr

Balat hodoh tetapi berkhasiat


KOTA KINABALU: Bentuknya kelihatan hodoh, berkarat dan kehitaman, namun harganya boleh mencecah lebih RM1,000 sekilogram.

Itulah 'balat' atau nama saintifiknya Holothuria scabra, sejenis hidupan laut unik yang dianggap makanan mewah dan berkhasiat oleh segelintir penggemar.

Ia sama spesies dengan gamat di Semenanjung, yang banyak digunakan untuk membuat ubat luka, selain dicampur dalam minuman kesihatan.

Bezanya, balat yang turut dipanggil timun laut dari perairan laut dalam Sabah hanya untuk dimakan, kebanyakannya dimasak sup.

Namun, balat yang hidup tidak boleh terus dimakan, sebaliknya perlu melalui beberapa proses bermula dari membersihkan isi perut, merebus dan mengeringkannya hingga kehitaman.

Berikutan itu, balat yang dijual dalam pasar kelihatan hodoh dan tidak menarik, namun bagi mereka yang mengetahui khasiatnya, keadaan fizikal bukan ukuran.


PENGGEMAR makanan laut yang boleh mendapatkan balat di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Ramai penggemar balat sanggup membelinya walaupun mahal, kerana percaya ia mempunyai khasiat menguatkan tulang dan mengekalkan kesihatan badan.

Hanya balat yang benar-benar kering dan keras boleh dimasak dan dimakan, namun sebelum itu ia perlu dilembutkan secara direbus semula sebelum dimasak sup.

Penjual balat di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu, Bas Magih, 32, berkata walaupun bentuknya hampir sama, balat dibahagikan kepada beberapa jenis mengikut kualiti.

Beliau mendakwa, balat terbaik adalah jenis harimau putih dengan harganya RM780 hingga lebih RM1,000 sekilogram bagi yang bersaiz besar.

"Ada juga balat susu atau dipanggil 'che po sam' oleh masyarakat Cina. Balat ini biasanya besar hingga mencapai seperti tangan orang dewasa dan harganya mencecah RM650 sekilogram.

"Apabila direbus untuk dilembutkan, saiznya boleh bertambah sekali ganda. Namun balat harimau paling diminati penggemarnya," katanya.


PENJUAL balat atau timun laut di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu, Bas Magih. - Foto Malai Rosmah

DI pasar ini, harga tertera adalah nilai pasaran semasa, namun pembeli biasanya diberikan diskaun dan harganya juga boleh ditawar. - Foto Malai Rosmah

Balat lain boleh didapati di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu termasuklah harimau hitam dan `ti bo sam' yang berwarna coklat dan berkulit licin.

Bas berkata, harga balat di pasar berkenaan dianggap berpatutan berbanding di premis pusat beli-belah atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

"Kalau berkunjung ke premis lain, ada menjualnya hingga lebih RM1,000. Malah ada yang mencecah RM2,000 sekilogram bergantung kepada saiz dan jenis balat.

"Di pasar ini, harga tertera adalah nilai pasaran semasa, namun pembeli biasanya masih diberikan diskaun dan harganya juga boleh ditawar mengikut kemampuan pelanggan," katanya.


ANTARA gamat liar yang ada di negara ini. - Foto Mohamed Semail

BALAT atau nama saintifiknya Holothuria scabra. - Foto Malai Rosmah Tuah

Beliau berkata, harga balat mahal disebabkan kesukaran memperolehnya kerana perlu menyelam ke dasar laut, selain mengambil masa lama untuk diproses.

Katanya, proses menghasilkan balat kering mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu, bergantung keadaan cuaca.

"Walaupun mahal, ramai pelanggan sanggup membeli khususnya pelancong dari China, selain masyarakat Cina tempatan. Selain itu, ada pengunjung dari Semenanjung datang ke sini membeli balat, selain ikan kering lain," katanya.

Balat kering dianggap produk bernilai tinggi dan turut menjadi daya tarikan tambahan kepada pengunjung dan pelancong ke Sabah.

Hidupan laut itu kebanyakannya diperoleh di kawasan perairan pantai timur Sabah seperti Semporna, Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Beluran selain di kawasan utara khususnya Kudat.


ANTARA spesis gamat yang diternak di kawasan Pusat Ternakan Gamat, Teluk Yu, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Info - Balat

  • Dikenali sebagai gamat di Semenanjung.
  • Diperolehi dari lautan dalam sekitar perairan Sabah.
  • Dipasarkan sebagai produk kering dengan harga antara RM300 hingga RM1,000 sekilogram.
  • Kegunaannya adalah untuk dimasak sup dan dianggap hidangan mewah.
  • Kebanyakan penggemar adalah masyarakat Cina yang percaya ia baik untuk kesihatan.
Berita Harian X