Ahad, 13 March 2016 | 2:48pm

17 militan terbunuh serangan udara tentera bersekutu di Aden

ADEN: Sekurang-kurangnya 17 suspek militan al-Qaeda terbunuh dalam serangan udara semalaman di kawasan bergolak dekat bandar pelabuhan Yaman selatan, Aden lapor pasukan perubatan hari ini.

Serangan udara itu mensasarkan daerah al-Mansoura, kubu kuat militan yang beberapa kali diserang sejak tentera bersekutu pimpinan Arab Saudi menawan semula Aden Julai lalu daripada militia Houthi yang bersekutu dengan Iran.

Menurut sumber, sekurang-kurangnya 20 orang awam dan militan cedera termasuk tiga anggota pasukan keselamatan.

Difahamkan, serangan mensasarkan militan yang sedang duduk di atas kenderaan dan satu daripada serangan terkena bangunan kerajaan tempatan. Pertempuran masih berterusan, kata mereka.

Seorang pegawai keselamatan berkata, serangan yang mungkin dilancarkan tentera gabungan pimpinan Arab Saudi, adalah peringkat kedua operasi membebaskan al-Mansoura daripada cengkaman militan.

Setakat ini tiada maklum balas daripada gabungan diketuai Arab Saudi mengenai serangan itu.

Serangan dilancarkan sehari selepas tentera yang setia kepada Presiden Yaman merampas semula sekitar Taiz daripada tawanan Houthi, bandar ketiga terbesar di Yaman, 200 kilometer ke barat laut Aden.

Tentera gabungan Arab Saudi memulakan kempen ketenteraan setahun lalu bagi menghalang Houthi daripada menguasai Yaman sepenuhnya. - Reuters

Berita Harian X