Ahad, 13 March 2016 | 12:02pm

El-Nino tak jejas jadual tanam padi

Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz. - Foto Danial Noordin

ALOR SETAR: Kira-kira 200,000 hektar sawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis akan mula ditanam padi seperti biasa hujung bulan ini cuaca panas melampau akibat fenomena El-Nino.

Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz, berkata jadual penanaman padi tahun ini tidak akan terjejas sama sekali walaupun diramal tiada hujan hingga Jun.

Penanaman akan dimulakan pada 30 Mac bagi sesi pertama hingga fasa yang berakhir pada 19 April.

Hingga kini, katanya, takungan air di tiga empangan milik MADA, iaitu Empangan Pedu, Muda dan Ahning direkod pada 1,233 juta meter padu atau 81.77 peratus penuh.

"Jumlah takungan ini hampir sama dengan takungan pada tahun lalu, iaitu 86 peratus.

"Ia tahap selesa berbanding takungan minimum yang diperlukan iaitu 679 juta meter padu bagi memulakan musim luar penanaman padi dan mencukupi untuk keperluan musim pertama bagi tahun ini," katanya pada sidang media, di sini pagi tadi.

Bagaimanapun, Othman berkata, petani yang terbabit dalam penanaman padi bermula hujung Mac ini dinasihat supaya berdisiplin mengikut jadual ditetapkan bagi melancarkan proses itu, selain digalak melaksanakan putaran tanah kering sebelum air dilepaskan.

Pada masa sama, katanya MADA turut mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang fenomena El-Nino dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan selain pam bergerak.

"MADA juga akan memohon melakukan pembenihan awan jika ada pembentukan awan yang bersesuaian, " katanya.

Berita Harian X