Ahad, 13 March 2016 | 12:45am

FELDA United rampas kembali persada liga


PEMAIN Pahang, Nejc Potakar (kanan) mengasak pemain Felda United, Mohd Airulridzwan Razali (tengah) dalam perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. - Foto Luqman Hakim Zubir

MARAN: FELDA United merampas kembali kedudukan tangga teratas liga selepas menumbangkan Pahang, 2-0, dalam saingan di Stadium Tun Abdul Razak, di sini, malam tadi.

Selepas perlawanan kelima itu, skuad The Fighters berjaya menghimpun 12 mata, untuk sekali gus memintas Johor Darul Ta'zim di puncak Liga Super dengan kelebihan dua mata.

Perlawanan menarik di hadapan lebih 15,00 penonton itu menyaksikan FELDA United menjaringkan gol pertama melalui sepakan percuma yang disempurnakan pemain import, Francis Forkey Doe pada minit ke-36.

Sepakan dari luar kotak penalti itu diperoleh tuan rumah selepas pemain import mereka, Lutfulla Turaev dikasari pertahanan Pahang.

Jaringan pendahuluan menyaksikan jentera serangan skuad Tok Gajah diketuai Matthew Davies melancarkan beberapa gerakan, namun ia mudah dipatahkan penjaga gol, Mohd Suffian Ab Rahman.

Apabila babak kedua bermula, ia menyaksikan perubahan taktikal dilakukan pengendali Pahang, Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi, namun cubaan Saarvindran pada minit ke-69 berjaya dipatahkan penjaga gol The Fighters, Mohd Suffian.

Aksi cemerlang berterusan penjaga gawang tuan rumah itu turut menyaksikan rembatan deras Matthew Davies dari luar kotak penalti pada minit ke-74 menghampakan Pahang.

Ketika perlawanan kelihatan berkesudahan 1-0, keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol Pahang menyaksikan pemain pertahanan pasukan itu, Nejc Potokar tertampan bola ke gawang sendiri dan gagal diselamatkan penjaga gol, Muhammad Saufi untuk kedudukan muktamad FELDA United 2 Pahang 0.

Berita Harian X