Sabtu, 12 March 2016 | 11:23am

Tenis: Djokovic buru gelaran ketiga


NOVAK Djokovic berucap di hadapan peminat selepas merasmikan mural wajahnya di Terbuka Paribas BNP, di iNDIAN wELLS, cALIFORNIA. - fOTO afp

INDIAN WELLS: Lawan Novak Djokovic sentiasa sedar ada saingan sengit untuk menumpaskannya dan ia bakal berlaku lagi apabila dia memulakan pemburuan gelaran ketiga berturut-turut di Indian Wells.

Djokovic juga sedang mengimpikan gelaran kelima keseluruhan di Jelajah ATP dan WTA yang dijadual berlangsung minggu ini, satu daripada kejohanan utama tenis yang berada di luar kalendar empat Grand Slams.

"Pendekatan saya bukannya untuk saya perlu memenangi kejohanan ini ataupun harus memenanginya tetapi saya wajib memenanginya," kata Djokovic.

"Kemudian saya mampu mempercayai kemampuan diri saya dan keyakinan itu membawa saya di mana saya berada ketika ini."

Djokovic menjadi pilihan utama untuk meraih kejuaraan di Indian Wells dan berharap mampu menggunakannya sebagai batu loncatan dalam usaha dinobatkan gelaran pertama di Terbuka Perancis yang mana bakal melengkapkan karier Grand Slam dirinya.

Sekiranya Djokovic mampu mempertahankan gelaran di California, ia bakal menjadikan dirinya sebagai pemain paling berjaya dalam sejarah kejohanan di gelanggang keras.

"Saya menyukai kelajuan di gelanggang ini," katanya. "Saya berasa sangat selesa. Bola dapat melantun tinggi dan saya membesar di gelanggang tanah liat jadi saya amat biasa dengan lantunan tinggi.

Kali ini Djokovic menyertai kejohanan Indian Wells dengan memegang rekod 16-1. Hanya tewas kepada Feliciano Lopez di suku akhir Kejohanan Tenis Dubai.

Pemain berusia 28 tahun dari Serbia itu juga membuka tirai musim dengan menjuarai kejohanan Doha sebelum meraih gelaran ke-11 dalam karier Grand Slam dan mengikat gelaran keenam di Terbuka Australia. - AFP

Berita Harian X