Sabtu, 12 March 2016 | 11:06am

491 kadet sarjan polis tamat latihan

KUALA KUBU BHARU: Seramai 491 pelatih menerima tauliah sebagai kadet sarjan selepas tamat Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) siri 1/2015 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini hari ini.

Mereka membabitkan 411 pelatih baharu berkelulusan diploma, manakala 80 lagi adalah anggota polis yang sebelum ini berpangkat konstabel. Daripada jumlah itu, 104 pelatih adalah wanita.

Terdahulu mereka yang mengikuti latihan asas sembilan bulan, diraikan pada majlis perbarisan tamat latihan PLAK yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Dalam ucapannya, Noor Rashid mengingatkan semua kadet sarjan supaya bersiap sedia menggalas tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi.

"Dalam menghadapi cabaran tugas di lapangan, hindarkan gejala kurang sihat seperti rasuah, salah guna kuasa dan perkara boleh mencemarkan imej penjawat awam, khususnya pasukan polis.

"Tindakan tidak beretika akan mengundang persepsi negatif masyarakat yang mengharapkan kita sebagai pelindung mereka. Janganlah cemari pekerjaan ini dengan anasir yang merosakkan diri, pasukan dan negara," katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Fuad Abd Latiff dan Komandan Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim.

Pada majlis berkenaan, Kadet Sarjan Hazzuan Tumiran dipilih sebagai pelatih terbaik keseluruhan latihan, manakala kategori terbaik akademik serta kategori terbaik latihan luar, masing-masing diraih Kadet Sarjan Norliza Mohamed Ramli dan Kadet Sarjan Che Zulhadi Che Sulaiman.

165 dibaca
Berita Harian X