Sabtu, 12 March 2016 | 9:35am

Atlet Russia mungkin tak sertai Olimpik Rio


MENTERI sukan Russia, Vitaly Mutko ketika ditemubual oleh wartawan Reuters di Moscow, Russia. - Foto REUTERS

MOSCOW: Atlet Russia akan tidak boleh mengambil bahagian pada temasya Olimpik Rio 2016 sekiranya pengharaman penyertaan mereka tidak ditarik balik pada pertengahan Julai ini, kata menteri sukan Russia Vitaly Mutko kepada Reuters awal pagi tadi.

Bercakap selepas Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) enggan menarik semula hukuman penggantungan, Mutko berkata Russia sudah melakukan segala-galanya yang diminta dan menambah bahawa kriteria ditetapkan IAAF tidak jelas.

"Anda mengatakan kami harus memilih kepimpinan baharu untuk persatuan olahraga - OK kami sudah melakukannya. Anda tidak boleh memilih pemimpin yang mempunyai rekod buruk - OK, kami juga melakukannya," katanya dalam temubual.

"Tiada kriteria. Apa yang patut olahraga Russia lakukan? Menari atas meja? Menyanyi lagu?.

IAAF sebelum itu berkata masih banyak kerja yang perlu dibuat Russia untuk kembali mendapat lampu hijau, selepas laporan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) mendedahkan penipuan dan rasuah dalam olahraga Russia tahun lalu, mencetuskan skandal sukan terbesar di negara terbabit dalam dekad ini.

Presiden IAAF, Sebastian Coe menegaskan keputusan akhir akan diputuskan pada Mei ini, manakala Mutko berkata hasrat atlet olahraga Russia untuk beraksi di Rio bakal diketahui pada pertengahan Julai ini. - Reuters

Berita Harian X