Sabtu, 12 March 2016 | 1:09am

Lelaki dibunuh dalam hotel bajet


KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din.

PETALING JAYA: Polis memburu lima individu dipercayai terbabit dalam kejadian bunuh seorang lelaki di sebuah hotel bajet di Damansara Damai, di sini, malam tadi.

Individu terbabit termasuk wanita dipercayai tinggal sebilik dengan mangsa sejak Isnin lalu di hotel yang terletak di tingkat tiga, sebuah pusat perniagaan di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata mayat mangsa berusia 39 tahun dan berasal dari Semenyih, Kajang, itu ditemui terbaring atas lantai dalam bilik oleh pekerja hotel pada jam 9 malam.

"Dia ditemui dengan kesan kecederaan pada kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul antara jam 8 malam hingga 9 malam.

"Sehubungan itu kami sedang mengesan semua suspek terbabit iaitu rakan sebiliknya yang menghilangkan diri secara tiba-tiba bagi membantu siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti kesemua rakan sebilik yang didaftarkan atas nama mangsa menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu kejadian.

"Setakat ini, kejadian diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X