Sabtu, 12 March 2016 | 12:09am
MARK mengaku ada ada artis perempuan cuba mendekati dirinya. - Foto Munira Abdul Ghani
PENYANYI, Mark Adam, berahsia mengenai Norazah atas kemahuan isterinya itu. - Foto Munira Abdul Ghani

Mark Adam dedah rahsia isteri


GARA-GARA peminat tidak mengenali isterinya, penyanyi, Mark Adam, 36, mengaku ada segelintir artis perempuan yang cuba mendekati dirinya.

Lebih melucukan apabila artis terbabit cuba berbuat demikian menerusi isterinya sendiri.

Sangkaan mereka, wanita yang sentiasa mengikuti penyanyi yang terkenal dengan lagu Marry Me itu ialah pembantu peribadinya.

Maklumlah, isteri penyanyi terbabit, Norazah Redzuan, 35, sendiri enggan dirinya ditonjolkan sebagai pasangan hidup lelaki berkenaan.

Menghormati permintaan Norazah, Mark tidak memuat naik gambar mereka bersama di laman sosial, membuatkan ramai yang tidak sedar wanita yang sering mengiringi penyanyi itu selama ini sebenarnya isteri beliau.

Menyedari perkara itu juga, Mark berkata, dirinya tidak terkejut apabila ada artis wanita yang cuba mendekati isterinya untuk bertanyakan nombor bilik penginapan beliau.

MARK menghormati permintaan isterinya, Norazah dengan tidak memuat naik gambar mereka bersama di laman sosial. - Foto Munira Abdul Ghani

MARK Adam dan isterinya, Norazah Redzuan.

"Sebagai suami, saya hormat permintaan beliau yang tidak mahu menonjolkan dirinya dalam kerjaya seni saya. Saya rasa, ramai sedia maklum saya sudah beristeri, cuma mungkin ada yang tidak tahu siapa isteri saya?

"Mungkin silap saya juga sebab terlalu berahsia mengenai identiti beliau. Apapun, semua itu dilakukan atas permintaan beliau sendiri dan saya akur dirinya tidak mahu terlalu dilihat menonjol.

"Beliau sendiri yang tidak mahu mencampuradukkan soal peribadi dengan kerjaya," katanya sambil memberitahu, dirinya lebih selesa jika isterinya sendiri yang menjadi pembantu dan pengurus peribadi berikutan memudahkan urusan mereka.

Bukan sekadar menyanyi, Mark yang ditemui pada majlis sidang media program realiti kanak-kanak, Ceria Popstar musim keempat di ibu kota berkata, beliau juga mula berjinak-jinak dalam bidang komedi.

Gelagat dan keletahnya yang mencuit hati itu mula mencuri tumpuan ramai selepas dirinya ditemubual stesen radio.

Cara percakapan dan cerita yang dikongsi beliau menggeletek hati pendengar, membuatkan dirinya dilabel sebagai pak lawak.

MARK Adam- Foto Hasriyasyah Sabudin

"Mungkin selepas orang mendengar cara saya bercakap dan menerima jenaka yang saya tampilkan, ia menggerakkan diri saya untuk menceburi bidang komedi.

"Namun, fokus utama saya tetap kepada nyanyian. Saya bermula dalam bidang ini dan ia juga memang menjadi minat saya sejak dulu. Komedi sekadar percubaan dan insya-Allah, kalau diterima penonton saya akan teruskan," katanya.

Pernah muncul dalam program realiti, Super Spontan All Stars dan Juara Parodi, penyanyi ini mengaku tidak keberatan jika diberi peluang untuk membabitkan diri dalam program lawak lain.

PENYANYI Jacklyn Victor dan Mark Adam selaku tenaga pengajar program realiti Ceria Popstar untuk musim ke 4 ketika majlis perlancaran Ceria Popstar di Gardens Theater. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Malah, beliau turut diintai untuk membintangi sebuah drama komedi, yang dianggapnya antara medan terbaik bagi mengasah bakat dalam lakonan pula.

"Bagaimanapun semua itu bergantung kepada tawaran. Kalau ada kesempatan dan peluang untuk saya menyertai program realiti sebegini, mungkin saya boleh cuba lagi.

"Saya sendiri tidak pernah menyangka bakat yang dimiliki membawa diri sampai ke tahap ini. Benarlah kata orang, semuanya berbalik kepada rezeki," katanya yang menjadi tenaga pengajar bersama-sama Jaclyn Victor dan Black Hanifah dalam Ceria Popstar, yang disertai 12 peserta berusia antara 10 hingga 15 tahun itu.

Berita Harian X