Sabtu, 12 March 2016 | 12:02am
GABUNGAN menu pikat selera. - Foto Adi Safri

Ayam percik Vivatel sedap dan mudah disediakan


NIKMATI sajian ayam bakar percik dengan nasi ulam dan acar jelatah. - Foto Adi Safri

HIDANGAN ayam percik memang sangat digemari oleh setiap orang. Ayamnya dibakar sambil disapu dengan bahan lain sebagai penambah selera sudah membuatkan ramai yang tidak sabar untuk menikmatinya.

Ditambah dengan kuah percik yang mempunyai pelbagai rasa, dimakan bersama ayam panggang sudah menjadikan ia satu menu yang lengkap boleh dimakan begitu saja atau bersama nasi.

Bagi membolehkan resipi ayam percik ini dimasak oleh setiap orang tanpa perlu mengambil masa yang lama, Cef Eksekutif Vivatel Kuala Lumpur, Abshar Daud, berkongsi dengan semua cara penyediaan ayam percik bersama nasi ulam dan acar jelatah sebagai penambah selera.

Disamping rasanya yang sedap, mudah disediakan, resipi ini juga berkhasiat memandangkan ia menggunakan bahan-bahan seperti sayuran sebagai ulaman dan juga rencah kuah yang mempunyai bahan yang dijamin mengandungi zat tertentu.

Bahkan ia juga boleh dinikmati oleh setiap peringkat usia memandangkan ia tidak terlalu pedas dan memiliki sedikit rasa manis.

Bagi memudahkan penyediaan, ayam itu hanya perlu digoreng selepas diperap dengan bahan tertentu. Resipi ini juga menjadi hidangan utama kepada pengunjung yang berkunjung ke Vivatel ini. 


CEF Abshar menunjukkan menu ayam bakar percik dan nasi ulam. - Foto Adi Safri

BAHAN-bahan membuat ayam percik. - Foto Adi Safri

Resipi Ayam Bakar Percik Nasi Ulam

Bahan-bahan

130 gram dada ayam

80gram serai cincang

10 gram bawang merah cincang

10 gram halia cincang

5 gram bawang putih cincang

30 gram cili kering kisar

20 milimeter santan segar

10 gram gula melaka

Lada hitam 

Lada putih

Garam

Cara penyediaan ayam percik


PERAP ayam bersama bawang putih, bawang merah, halia, cili dan sedikit lada hitam dan putih.

KEMUDIAN gorengkan hingga masak bersama sedikit minyak.


BAGI membuat kuah percik, tumiskan cili, bawang putih, bawang merah, serai, bunga kantan hingga naik bau dan kemudian tambahkan sikit air. Masak seketika.

KEMUDIAN masukkan santan, gula melaka, sedikit serbuk kunyit dan garam sebagai perasa.

TUMISKAN seketika hingga masak.


AMBIL sedikit kuah berkenaan dan gorengkan sebentar bersama asparagus dan tomato kecil sebagai hiasan.

Cara penyediaan nasi ulam.


HIRIS halus sayuran seperti bunga kantan, serai, pegaga, ulam raja, kacang panjang dan kacang botol mengikut kuantiti yang anda suka.

GAULKAN bersama nasi. Tambahkan sikit garam dan lada putih sedikit.

Cara penyediaan acar jelatah


BAHAN membuat acar jelatah.

1. Hiriskan sedikit nanas, cili merah, bawang besar dan timun.

2. Gaulkan semua bahan berkenaan bersama sedikit jus limau.

3. Masukkan lada putih dan garam sebagai perasa.


ACAR jelatah sebagai penambah selera. - Foto Adi Safri
Berita Harian X