Jumaat, 11 March 2016 | 4:07pm

Guru cedera ditampar bapa murid


SEORANG guru lelaki cedera ditampar bapa muridnya di sebuah sekolah rendah di Ayer Molek, Melaka. - Foto hiasan

MELAKA: Seorang guru lelaki cedera ditampar bapa muridnya di sebuah sekolah rendah di Ayer Molek di sini, pagi semalam.

Guru Pendidikan Jasmani berusia 37 tahun itu dikatakan diserang dan dihambur dengan kata-kata kesat, sebelum ditampar dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi.

Bapa murid itu didakwa menyerang guru berkenaan kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa menampar anaknya yang juga murid Tahun Lima sekolah itu.

Berikutan itu, guru terbabit membuat laporan di Balai Polis Kandang pada hari kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim, berkata siasatan awal mendapati murid itu ditampar oleh gurunya ketika menjalani ujian kecergasan di sekolah.

"Suspek yang juga kakitangan sebuah bintang di negeri ini tidak berpuas hati dengan tindakan itu dan datang ke sekolah lalu menampar pipi kanan mangsa sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

"Suspek turut mengeluarkan kayu cota dengan niat menakutkan dan mengugut untuk mencederakan mangsa," katanya pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Kamaluddin berkata, polis menahan suspek di tempat kerjanya kira-kira jam 5 petang hari sama.

Katanya, suspek dikatakan menyimpan dendam dengan mangsa sejak dua tahun lalu berikutan tindakan guru itu memarahi anaknya kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

"Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang dan ugutan jenayah,"katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari, ketika dihubungi berkata, keluarga murid itu sudah dipanggil untuk sesi permuafakatan bersama pihak sekolah dan guru berkenaan.

"Ibu murid itu sudah menyatakan persetujuan manakala pihak jabatan akan mengambil tindakan ke atas guru terbabit selepas hasil permuafakatan dan siasatan selesai," katanya.

27 dibaca
Berita Harian X