Khamis, 10 March 2016 | 1:34pm

JPN tahan 6 warga asing


ANGGOTA Penguatkuasaan JPN menggunakan aplikasi mudah alih bagi memeriksa MyKad milik seorang individu (duduk) yang didapati palsu ketika operasi di sekitar Melaka, awal pagi tadi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Seorang wanita warga Filipina disyaki ejen mengeluarkan sijil kelahiran dan MyKad palsu antara enam warga asing yang ditahan dalam Ops ID Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di bandar raya ini, awal pagi tadi.

Wanita berusia 55 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan anggota JPN di sebuah rumah di Kampung Gelam dalam operasi empat jam, bermula 12 tengah malam.

Pengarah JPN negeri, Norazle Sulaiman, berkata serbuan pihaknya menemui kira-kira 50 salinan fotostat kad pengenalan dan sijil kelahiran diragui milik pelbagai individu.

"Wanita ini cuba bersembunyi di belakang almari ketika serbuan dan hasil pemeriksaan, dia didapati memiliki sijil kelahiran yang diragui.

"Kita turut menyerbu tiga rumah warga asing membabitkan warga Filipina dan Indonesia di Paya Rumput dan Seri Tanjung di sini.

"Enam individu termasuk lima wanita berusia 20 hingga 55 tahun ditahan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Operasi turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen negeri.

Norazle berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 25 Akta Pendaftaran Negara 1959 (pindaan 2007) dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun dan denda RM20,000.

Berita Harian X