Khamis, 10 March 2016 | 12:03am

Daging korban mesti dimanfaat bersama

SOALAN: Alhamdulillah, baru-baru ini saya berkorban seekor lembu. Hampir setengah daripadanya saya sedekahkan kepada fakir miskin. Hari ini, masih terdapat banyak lagi saki-baki daging korban dan tulang dalam peti sejuk rumah saya. Soalannya, bolehkah saya menjual daging dan tulang itu.

JAWAPAN:

Hukum pemilik korban menjual daging korban adalah haram kerana falsafah di sebalik pensyariatan ibadah korban oleh Allah SWT kepada umat Islam untuk memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat khususnya golongan fakir miskin.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan makanlah kamu daripada hasil korban itu serta berikanlah ia kepada golongan susah dan fakir." (Surah al-Hajj, ayat 38)

Ingin saya tekankan di sini, jika Islam membenarkan tuan empunya korban menjual daging korban mereka, nescaya falsafah itu tidak akan tercapai kerana semua mereka akan berkejaran untuk meraih keuntungan daripadanya.

Atas asas itu, hampir semua ulama mazhab seperti Maliki, Syafie dan Hanbali mengharamkan perbuatan menjual daging ibadah korban sama ada ia korban sunat atau wajib.

Bagi menguatkan lagi hujah ini, terdapat riwayat daripada Abdul Rahman ibn Abi Layla, beliau telah dimaklumkan oleh Ali sesungguhnya Nabi SAW telah mengarahkan menantunya itu supaya mengorbankan seekor anak unta.

Daging, kulit, tubuh dan sebagainya diarahnya juga supaya disedekahkan semuanya. Baginda turut melarang upah kepada penyembelih atau pemotong diambil daripada bahagian korban." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

SOALAN: Saya salah seorang fakir miskin yang telah menerima sumbangan daging korban. Alhamdulillah, jumlah keseluruhan daging korban yang saya terima kira-kira enam kilogram. Malangnya, di rumah saya tiada beras, gula, garam dan bahan-bahan asas untuk memasak. Bolehkah seorang fakir yang telah menerima daging korban menjualnya kepada sesiapa sahaja bagi menampung kehidupan harian mereka.

JAWAPAN:

Hikmah daripada ibadah korban sebenarnya untuk meringankan bebanan golongan fakir miskin. Arahan itu sangat jelas apabila Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada golongan yang memerlukan (fakir dan miskin)." (Surah al-Hajj, ayat 36)

Sehubungan itu, adalah dibenarkan kepada golongan fakir dan miskin untuk menjual daging korban yang telah diperolehnya jika perbuatan itu benar-benar akan meringankan bebanan serta tanggungan mereka.

Mungkin juga tindakan mereka menjual daging korban dengan harga berpatutan membolehkan membeli keperluan harian lain yang lebih penting seperti beras, telur, susu anak, bahan asas memasak dan sebagainya.

Menerusi kaedah ini, falsafah daripada pensyariatan ibadah korban akan tercapai dan dirasai nikmatnya oleh semua pihak. Namun, saya menasihatkan kepada golongan fakir miskin supaya lebih bertakwa dalam mengurus hasil korban yang mereka peroleh.

Perbetulkan niat ketika menerima agihan daging korban daripada golongan yang berkemampuan. Jangan sesekali menjadikan amalan menerima agihan korban sebagai langkah untuk kaya menerusi perniagaan dan sebagainya.

Terimalah agihan dengan berhemah. Manfaatkan ia sebaik mungkin. Elakkan pembaziran dan jauhi sifat tamak yang mementingkan diri sendiri. Ingat, bukan kamu sahaja yang fakir di bumi Allah SWT ini.

Sesungguhnya masih ramai lagi mereka yang senasib dengan kamu.

Berita Harian X