Rabu, 9 March 2016 | 8:06pm

Jawatankuasa Piala Sultan Selangor kumpul RM900,000


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bergambar bersama para penyumbang selepas majlis jamuan minum petang di Istana Alam Shah, petang tadi. - Foto Roslin Mat Tahir

KLANG: Sejumlah RM900,000 dana berjaya dikumpul oleh Jawatankuasa Piala Sultan Selangor hasil sumbangan kerajaan negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor sempena aksi Piala Sultan Selangor pada 7 Mei ini. 

Sumbangan itu diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam jamuan minum petang di Istana Alam Shah, di sini, petang tadi.

Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar, berkata perlawanan edisi ke-14 pada tahun lalu terpaksa dibatalkan kerana masalah jerebu yang teruk dan penaja sudah dimaklumkan bahawa sumbangan mereka akan dibawa ke perlawanan pada tahun ini. 

"Pembatalan pada saat akhir menyebabkan tidak banyak perbelanjaan dapat kita selamatkan dan kita masih memerlukan sumbangan untuk memastikan perlawanan Piala Sultan Selangor edisi ke-15 pada tahun ini tetap berlangsung.

"Bagaimanapun, syarikat milik kerajaan negeri dan swasta yang pernah menaja sebelum ini, bermurah hati untuk tampil memberi sumbangan pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis penyampaian cek sumbangan Piala Sultan Selangor di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Abd Karim berkata, antara syarikat atau agensi yang memberi sumbangan untuk Piala Sultan Selangor pada kali ini adalah, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Worldwide Holdings Berhad, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Perbendaharaan Negeri Selangor, Perbadanan Menteri Besar (MBI), Puncak Niaga Holdings Berhad serta beberapa badan korporat yang lain.

Aksi Piala Sultan Selangor yang menemukan dua seteru lama - Selangor dan Singapura - dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam, 7 Mei ini.

Abd Karim berkata, Piala Sultan Selangor edisi ke-15 sepatutnya diadakan di Singapura.

Namun, Sultan Selangor bertitah untuk mengadakan edisi ke-15 piala itu di Stadium Shah Alam berikutan pembatalan perlawanan pada tahun lalu. 

Beliau berkata, perlawanan kali ini pasti akan mendapat sambutan luar biasa kerana Singapura tidak lagi beraksi dalam Liga Malaysia dan peminat pasukan itu tidak akan melepaskan peluang ini. 

"Format perlawanan masih seperti edisi sebelumnya dengan pasukan veteran dan pasukan utama Selangor. Selangor bakal turun dengan Pilihan Selangor, begitu juga dengan Singapura yang akan membariskan pasukan pilihan mereka.

"Kami juga menjangkakan perlawanan yang sengit kerana Singapura sudah pasti mahu membawa pulang Piala Sultan Selangor selepas kali terakhir mereka bergelar juara pada 2011," katanya.

  

Berita Harian X