Rabu, 9 March 2016 | 3:45pm

Iran bedil dua peluru berpandu balistik


Foto hiasan

TEHRAN: Kerajaan Iran berkata, angkatan tenteranya melepaskan dua peluru berpandu balistik dalam ujian terbaharu sekali gus menentang amaran daripada Amerika Syarikat.

"Peluru berpandu jarak jauh Qadr-H dan Qadr-F dilepaskan hari ini.... yang memusnahkan sasaran" sejauh kira-kira 1,400 kilometer, kata media yang memetik Timbalan Ketua Pengawal Revolusi, Jeneral Hossein Salami.

Stesen televisyen nasional menyiarkan video dua peluru itu dilepaskan dari kawasan pergunungan Alborz di utara Iran.

Republik Islam itu turut menjalankan ujian peluru berpandu pelbagai capaian pada Selasa sekali gus tidak menghiraukan sekatan dikenakan Amerika Syarikat pada awal tahun ini yang bertujuan menggendalakan program peluru berpandu Iran.

Sekatan peluru berpandu itu dikenakan sehari selepas sekatan berkaitan nuklear ke atas Iran digugurkan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, John Kirby berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan ujian Tehran itu tetapi memberi amaran bahawa Washington akan mengambil tindakan secara satu pihak saja atau peringkat antarabangsa. - AFP

51 dibaca
Berita Harian X