Rabu, 9 March 2016 | 1:15pm

Azizulhasni belum terfikir usia persaraan


PELUMBA track negara Azizulhasni Awang bersama Fatehah Mustapa membuat latihan di Velodrom London. - Foto Khairul Ghazali

SEPANG: Temasya Olimpik di Rio, Brazil tahun ini tidak dianggap sebagai penamat karier buat jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang malah ia disifatkan permulaan sekali pun pingat emas berjaya dirangkul.

Pernah beraksi di dua edisi Olimpik sebelum ini di Beijing (2008) dan London (2012), Azizulhasni yang menginjak usia 28 tahun berkata dia langsung tidak memikirkan mengenai persaraan kerana di usia 30-an, seseorang pelumba itu masih mampu melakar gemilang di pentas dunia.

Malah pelumba kelahiran Terengganu yang masih segar dengan kejayaan meraih pingat gangsa di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di London, minggu lalu yang sekali gus memberinya tiket ke Rio berkata dia kini di tahap terbaik dan yakin mampu melakar kejayaan ketika di temasya sukan terbesar dunia itu.

"Mungkin di Malaysia orang kata umur 28 sudah agak lanjut namun sebenarnya di luar, di peringkat dunia, usia 28 baru perlumbaan. Dari sudut saintifik, usia di pertengahan 20-an dan 30 adalah di mana badan manusia mengeluarkan lebih banyak kolagen.

"Jika kita aktif bersukan dan sebagainya, badan akan menjadi lebih kuat dan bukan lemah apabila cecah usaha 30-an. Lihat kepada Sir Chris Hoy, beliau mendominasi sukan ini dalam acara pecut pada usia 30-an.

"Pelumba Perancis, Francois Pervis yang juga juara dunia keirin tahun lalu juga sama. Di peringkat Olimpik dan dunia, kebanyakan mereka berusia di pertengahan 20-an dan 30 ke atas.

"Saya lihat perjalanan saya masih jauh namun ketika ini fokus saya adalah di Rio dan bawa pingat emas untuk negara. Jika ditanya saya akan gantung basikal lepas Rio, mungkin tidak," kata pelumba yang turut dikenali Pocketrocket Man itu.


JURULATIH trek basikal, John Beasley (tengah), Fatehah Mustapa (kiri) dan Azizulhasni Awang bersama pingat gangsa keirin yang dimenangi Azizulhasni pada kejohanan dunia di London ketika menyambut kepulangan skuad basikal trek negara dan pengumuman layak ke Rio Olimpik 2016 oleh Yayasan Sime Darby di Hotel Sama-Sama KLIA. - Foto Osman Adnan

Semalam, Azizulhasni, pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa serta jurulatih mereka, John Beasley diraikan pada satu majlis pengumuman rasmi kelayak ke Sukan Olimpik Rio oleh penaja Yayasan Sime Darby.

Ketika ditanya mengenai pencabar di Rio, Azizulhasni mengulas tidak begitu memikirkannya sebaliknya fokus kepada latihan spesifik berbaki 20 minggu sebelum tiba ke negara Latin itu pada Ogos ini.

"Di Rio, saya tidak fokus kepada individu kerana perlumbaan keirin adalah subjektif. Juara dunia dua kali, Pervis juga tidak begitu menjadi ketika di London tempoh hari namun ia mungkin disebabkan strategi.

"Fokus utama saya ketika ini adalah untuk meningkatkan diri saya ke tahap maksimum. Biasanya di perlumbaan kita tidak begitu lihat kepada kekuatan, namun pelajari corak perlumbaan dan taktik."

Berita Harian X