Rabu, 9 March 2016 | 12:16pm

Dua dituduh terbabit rasuah isu kuota beras ST15

ALOR SETAR: Dua pemilik syarikat kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, terhadap tiga pertuduhan bersubahat dan menerima rasuah berjumlah RM135,00, dua tahun lalu.

Tertuduh, Nor Azamuddin Ahmad, 47, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah sebagai upah mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 300 metrik tan untuk seorang pemilik syarikat pada Mei hingga Julai di Kulim, dua tahun lalu.

Seorang lagi tertuduh, Farid Idris Khan, 36, dituduh bersubahat dengan tertuduh pertama dalam ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi.

Kedua-dua tertuduh yang didakwa secara berasingan di depan Hakim Zulhazmi Abdullah membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Nor Azamuddin dituduh menerima suapan RM45,000 daripada Datuk Noridan Spee Yee selaku pemilik syarikat DCT Bakery Sdn Bhd, sebagai dorongan mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 metrik tan bagi pernigaan MNS Utara Enterprise dan MFM Utara Enterprise bagi Mei 2014 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No 69, Persiaran KCT 4/3, Kulim Techno City Golf View, Kulim Hi-Tech Park, Kulim pada jam 10 malam, 4 Mei 2014.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Azamuddin dituduh mengulangi kesalahan sama dengan menerima suapan masing-masing berjumlah RM45,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk kononnya mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 metrik tan bagi perniagaan sama bagi bulan Jun dan Julai 2014.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu masing-masing pada 6 Jun dan 2 Julai di lokasi dan masa yang sama.

Farid pula dituduh bersubahat menerima rasuah secara keseluruhan berjumlah RM135,000 pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai suapan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Ang Chun Pun, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar. Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan.

Berita Harian X