Rabu, 9 March 2016 | 12:17am
KICKBOXING membantu Scha membakar lemak lebih cepat
SCHA berlatih kickboxing bersama jurulatih kecergasannya.
WALAUPUN berbadan kurus, namun Scha tetap bersenam demi memastikan kesihatan tubuh badan pada tahap terbaik.
MERAKAMKAN kenangan di gimnasium adalah antara kegemaran Scha Alyahya untuk memberi motivasi kepada peminatnya untuk turut menjaga kesihatan.

Scha Alyahya gigih bersenam buang lemak tersembunyi


MELIHAT kepada ketinggian dan potongan badannya, Scha Alyahya, yang juga bekas pengacara Muzik Muzik di TV3, persis seorang peragawati.

Ditambah dengan kebijaksanaannya yang mula dikenali menerusi drama Awan Dania ini, dalam soal mengenakan pakaian pada badannya yang ramping, segala-gala kelihatan cukup sempurna.

Bagi mereka yang memiliki bentuk badan kurus seperti Scha yang juga isteri kepada pelakon dan pengacara, Awal Ashaari ini, memang tak ada masalah dalam mencari pakaian yang digemari.

Pendek kata macam patung mannequin, pakai apa saja pun tetap nampak cantik. Jadi persoalannya kenapa kebelakangan ini ibu kepada si comel Lara Alana ini gigih bersenam di gimnasium bersama jurulatih kecergasan.

Bagi Scha, tiada salahnya mereka yang berbadan kurus turut bersenam kerana ia bukan setakat untuk menurunkan berat badan atau memiliki tubuh yang kekar semata-mata.

"Saya kini bersenam bukan sebab nak kuruskan badan tetapi mahu mengekalkan kesihatan pada tahap yang terbaik. Saya percaya senaman perlu menjadi sebahagian gaya hidup.

"Selain itu, saya juga mahu membentuk badan supaya lebih cantik. Selalunya, orang ingat mereka yang kurus itu tak ada lemak, hakikatnya tetap ada cuma tersembunyi.

"Pada usia semakin meningkat ini, saya melihat keperluan menyelitkan rutin kecergasan dan senaman dalam kehidupan harian. Tambahan pula saya suka menikmati makanan, kenalah bersenam untuk mengimbangi gaya hidup seharian," kata pelakon drama Isteri vs Tunang itu.


SCHA bersenam bukan untuk menguruskan badan tetapi mahu mengekalkan kesihatan pada tahap terbaik.

Dalam hal kesihatan, Scha sendiri berpegang kuat bahawa makanan adalah asas paling penting kerana 70 peratus daripada badan terbentuk daripada pemakanan dan hanya 30 peratus terbentuk daripada senaman.

"Apa yang dimakan akan menggambarkan tubuh badan kita. Pemakanan yang sihat perlu diperkukuhkan dengan senaman yang betul supaya otot tertentu dapat dibentuk mengikut keperluan masing-masing. Dalam pemakanan, 'We Are What We Eat' maksudnya kita ditentukan apa yang dimakan.

"Kalau banyak mengambil makanan yang tidak sihat, tubuh juga turut berpotensi menjadi tidak sihat dan begitulah sebaliknya.

"Berikutan tabiat saya yang suka makan apa saja, kenalah rajin bersenam untuk membakar semua lemak yang dimasukkan ke dalam badan," kata si cantik yang mempunyai ketinggian 170 meter dan berat terkini 53 kilogram itu.


SCHA mahu membentuk badan supaya lebih cantik.

Scha yang pernah mencapai berat badan 64 kilogram ketika mengandung Lara, berkata dia sudah lama menyimpan hasrat bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Ikutkan sejak sebelum mengandungkan Lara lagi saya mahu amalkan gaya hidup sebegini tetapi ketika itu masa tak mengizinkan.

"Kini Lara sedang membesar adalah masa sesuai termasuk jadual penggambaran yang tidak padat, saya enggan tangguhkan lagi langkah yang baik ini. Saya mula aktif bersenam sejak Oktober tahun lalu," katanya yang memperuntukkan masa sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

"Meskipun sibuk, saya cuba mencari masa yang sesuai kerana untuk bersenam, kita tidak boleh terlalu berkira tetapi tidak boleh keterlaluan.

"Kebiasaannya senaman saya fokus untuk seluruh badan terutama bahagian atas dan belakang badan. Selain bersenam mengguna bebanan, saya juga melakukan kickboxing bagi membentuk badan dengan mudah selain cepat membakar lemak," katanya.

Berita Harian X