Selasa, 8 March 2016 | 6:55pm

Visa Checkout mudahkan pembelian dalam talian

KUALA LUMPUR: Visa hari ini melancarkan Visa Checkout di Malaysia, perkhidmatan pembayaran pantas dan mudah yang membolehkan pengguna membayar untuk barangan dalam talian dengan mana-mana peranti dengan hanya beberapa klik.

Perkhidmatan baharu itu membantu mengatasi kesukaran pembeli dalam talian dan mudah alih dengan mengurangkan jumlah langkah yang diperlukan untuk melengkapkan sesuatu pembayaran dalam talian.

Pengurus Negara untuk Visa Malaysia, Ng Kong Boon, berkata Visa Checkout direka untuk mempertingkatkan pengalaman pembelian secara digital dengan menjadikan proses pembayaran pantas dan selamat serta mengurangkan jumlah langkah diperlukan untuk melengkapkan pembelian dalam talian.

"Kami telah menjalankan kerjasama dengan beberapa peniaga utama di Malaysia sebagai sebahagian daripada pelancaran produk penyelesaian ini dan kami yakin pengguna akan menerima Visa Checkout untuk semua peranti mereka," katanya pada majlis pelancaran Visa Checkout di sini, hari ini.

Maybank ialah bank pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan itu kepada pemegang kad Visa dan menawarkan penerimaan Visa Checkout kepada semua peniaga di seluruh negara.

Visa Checkout kini diterima oleh pelbagai peniaga dalam talian di Malaysia termasuk GSC Cinema, Superbuy.com, SweetSpot Digital, Little Whiz, Twenty3, Avenue86 dan CUTI.

Untuk menggunakan Visa Checkout, pengguna hanya perlu memasukkan 'username' dan log-in untuk membuat pembayaran tanpa perlu memasukkan nombor kad kredit 16-digit dan tarikh akhir di setiap urusan pembelian.

Berita Harian X