Selasa, 8 March 2016 | 6:48pm

Sindiket pemalsuan pasport Malaysia tumpas

PUTRAJAYA: Ops Ikrar (SERKAP) Jabatan Imigresen Malaysia, Ahad lalu, menumpaskan rangkaian sindiket pemalsuan pasport Malaysia antarabangsa didalangi warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarahnya, Datuk Sakib Kusmi, berkata tangkapan itu dilakukan berikutan pemeriksaan dokumen di sekitar bangunan Satelite KLIA, hasil maklumat pemantauan dan risikan.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan mengesan dua suspek lelaki warga Sri Lanka yang dijangka berlepas ke Amsterdam, Belanda, dengan menaiki pesawat KLM Royal Dutch Airlines.

"Kedua-dua suspek terbabit mengemukakan dokumen pasport Malaysia antarabangsa yang disyaki palsu. Pemeriksaan lanjut turut menemui dua pasport Sri Lanka sebenar milik mereka.

"Sehubungan itu, kedua-dua suspek terbabit ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa atas pasport Sri Lanka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mereka juga didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) kerana menggunakan atau tanpa kuasa yang sah memiliki Dokumen Perjalanan atau Perakuan yang dipinda atau dipalsukan.

Kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana memiliki pasport orang lain selain dirinya tanpa kuasa yang sah.

Sakib berkata, susulan hasil maklumat dan risikan turut membawa kepada penahanan dua lagi suspek yang disyaki warga Sri Lanka dipercayai bertindak sebagai ejen dalam rangkaian sindiket di Aras 5, KLIA.

Katanya, kedua-dua suspek terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen yang sah.

"Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana disyaki bersubahat dengan rangkaian sindiket.

"Kami yakin dengan penahanan empat suspek yang disyaki warga Sri Lanka ini akan membuka jalan kepada usaha mengesan dalang sebenar sindiket pemalsuan pasport Malaysia antarabangsa, seterusnya membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan," katanya.

Berita Harian X