Selasa, 8 March 2016 | 5:01pm

Polis rampas dadah RM1.4j dalam 3 serbuan


PENGARAH JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff menunjukkan rampasan heroin, syabu, estacy dan ganja bernilai RM1.4 juta, menerusi tiga serbuan dalam tempoh 24 jam bermula Jumaat lalu di Bukit Aman, hari ini. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah berikutan penahanan 18 orang dalam tiga serbuan di Kedah dan Pahang, Jumaat lalu, bersama rampasan dadah bernilai RM1.4 juta.

Serbuan itu dilakukan oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada jam 5.15 petang Jumaat dan berakhir jam 9.30 pagi Sabtu lalu di Langkawi dan Changlun, Kedah serta di Cameron Highlands, Pahang.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata dalam serbuan pertama di Langkawi, pihaknya menahan tiga lelaki dan empat wanita tempatan dan merampas dadah jenis heroin.

Susulan itu, katanya, polis menahan tujuh lagi individu di sebuah hotel di Brinchang, Cameron Higlands dan menemui sebuah makmal memproses syabu di kawasan kebun sayur dinamakan Blue Valley.

"Dalam serbuan terakhir di Taman Teja, Changlun, kami menahan tiga warga tempatan dan seorang wanita warga Thailand bersama 247.1 kilogram dadah jenis ganja," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mokhtar berkata, pihaknya turut merampas 10 kenderaan dan dua motosikal milik suspek bernilai RM637,300.

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari bermula Ahad lalu mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

21 dibaca
Berita Harian X