Selasa, 8 March 2016 | 2:24pm

CPO: Malaysia, Indonesia pantau cadangan Perancis naikkan cukai


Datuk Amar Douglas Uggah Embas

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia menerusi Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) memantau rapat perkembangan cadangan kenaikan cukai progresif produk berasaskan sawit oleh kerajaan Perancis.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata dua negara yang juga antara pengeluar kelapa sawit terbesar dunia itu menyampaikan protes kepada Perancis berhubung cadangan yang disifatkan akan 'membunuh' industri minyak sawit.

"Ketika ini cukai itu berjumlah 110 euro dan Perancis akan menaikkan kepada 300 euro tahun depan dan 900 euro menjelang 2020. Ia cadangan yang tidak masuk akal. Kita akan kemukakan protes kepada kerajaan Perancis," katanya selepas majlis perasmian Persidangan Minyak Sawit dan Laurik (POC) 2016 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Amirsham A Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan; dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai.

Januari lalu, Parlimen Perancis meluluskan cadangan kenaikan cukai progresif sehingga 200 peratus, dalam usahanya menyelamatkan industri minyak sayur, bunga matahari dan soya negara berkenaan.

Cadangan kenaikan mulai tahun depan itu mendapat bantahan Malaysia dan Indonesia walaupun Perancis hanya pasaran kecil kepada kedua-dua negara itu.

Sementara itu, lebih 2,000 syarikat berkaitan industri sawit daripada lebih 50 negara menyertai POC2016 yang berlangsung mulai semalam anjuran Bursa Malaysia.

Dengan tema "Penyelesaian Global Menguruskan Ketidaktentuan Pasaran", POC 2016 menghimpunkan pakar dalam industri berkaitan bagi membincangkan teknik pengurusan risiko termasuk perlindungan dagangan Kontrak Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) menerusi Bursa Malaysia.

Berita Harian X