Selasa, 8 March 2016 | 1:59pm

Penerbangan terus bawa pelancong China ke Pahang


PENGURUS Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar (dua kanan) menyampaikan sijil kepada wakil agensi pelancongan dari China dalam satu majlis meraikan mereka di Hotel Swiss Garden Resort. - Foto Shahrinnahar Latib

KUANTAN: Agensi pelancongan dari beberapa bandar utama di China bersetuju mengadakan lebih banyak penerbangan khas ke negeri ini dalam masa terdekat, bagi memudahkan pelancong mengunjungi destinasi popular di Pahang.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar, berkata usaha mengadakan lebih banyak penerbangan khas dari China itu adalah hasil pertemuan dengan delegasi wakil agensi pelancongan dari China termasuk Beijing, Hunan, Xian, Kunming, Chengdu, Shanghai, Tianjin, Shenzhen, kelmarin.

"Mereka sudah menyatakan minat untuk bekerjasama menyediakan perkhidmatan penerbangan khas membawa pelancong China datang ke sini menerusi pakej pelancongan yang disediakan.

"Ini adalah antara inisiatif kita sempena Tahun Melawat Pahang 2017. Bagaimanapun, kita minta mereka memulakan perkhidmatan penerbangan khas ini mulai tahun ini.

"Kita jangkakan dapat meningkatkan bilangan pelancong dari China kepada 700,000 orang pada tahun ini dan satu juta orang pada tahun berikutnya berbanding seramai 529,215 pelancong China datang ke negeri ini tahun lalu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ishak berkata, setakat ini, Pahang hanya mempunyai satu penerbangan khas dari Taiwan ke Kuantan dengan kekerapan 27 kali dalam tempoh setahun.

Katanya, perkhidmatan sedemikian bukan saja memudahkan mereka untuk terus ke destinasi menarik di Pahang tetapi juga melonjakkan sektor ekonomi penduduk tempatan apabila lebih ramai kehadiran pelancong asing ke negeri ini.

"Kebanyakan mereka gemar mengunjungi Genting Highlands dan kawasan tanah tinggi lain seperti Cameron Highlands dan Bukit Fraser. Justeru, kita akan pastikan pada tahun ini mereka ini akan melawat ke seluruh negeri ini," katanya.

Beliau berkata, rakyat China semakin yakin untuk berkunjung ke negara ini terutama ke Pahang selepas dua tahun tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Berita Harian X