Selasa, 8 March 2016 | 1:43pm

YSD gembira Azizulhasni, Fatehah layak ke Rio


PENGERUSI Yayasan Sime Darby, Tun Musa Hitam (tengah) melihat pingat gangsa yang dimenangi pelumba trek basikal negara, Azizulhasni Awang (dua dari kanan) ketika bersaing di kejohanan lumba basikal trek dunia London pada majlis sidang media menyambut kepulangan skuad basikal trek negara dan pengumuman layak ke Rio Olimpik 2016 oleh Yayasan Sime Darby di Hotel Sama-Sama KLIA diperhatikan Fatehah Mustapa. - Foto Osman Adnan

SEPANG: Yayasan Sime Darby (YSD) berpuas hati dengan kejayaan dua pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa yang berjaya meraih tiket ke Sukan Olimpik Rio, Ogos ini.

Menyifatkan ia sebagai pencapaian yang membanggakan negara, Pengerusi YSD, Tun Musa Hitam berkata apa yang diraih kedua-dua pelumba di bawah tajaan YSD itu bukan mudah malah terpaksa melalui proses yang rumit dan cukup mencabar.

Azizulhasni yang dikenali sebagai 'The Pocketrocket Man' melayakkan diri ke Rio selepas memenangi pingat gangsa di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di London, minggu lalu dalam acara keirin.

Fatehah pula layak dalam acara pecut wanita menerusi tiket pelumba kedua terbaik dari benua Asia, namun kedua-duanya terpaksa mengharungi proses rumit termasuk mengutip mata di pelbagai kejohanan sebelum tampil beraksi di London.

"Tahniah Azizulhasni atas kejayaan pingat gangsa yang dimenangi pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di London yang terus meletakkan nama Malaysia di peta dunia berbasikal," kata Tun Musa ketika ditemui pada sidang media di sini, hari ini.

"Kami di YSD amat bangga untuk menjadi sebahagian daripada kejayaan kedua-duanya yang jelas amat berdedikasi sejak beberapa tahun ini.

"Kami juga mempunyai keyakinan betapa Azizul dan Fatehah mampu menamatkan kemarau pingat negara dan kembali sebagai juara pada kali ini," katanya.

Azizulhasni yang ditemui berkata kejayaan di London meningkatkan semangatnya untuk tampil lebih bertenaga di Rio.

"Sudah lama saya menunggu saat ini, jadi semangat memang berkobar-kobar. Di London, sedih juga kerana tidak dapat bawa pulang pingat emas, namun ia turut memberi saya banyak maklumat mengenai persiapan saya dan sebagainya."

Masih ada beberapa bulan lagi sebelum ke Rio, jadi banyak lagi peningkatan yang boleh dibuat dan ia juga tidak begitu jauh," katanya.

Fatehah dalam pada itu berkata akan menggunakan sebaik mungkin tempoh yang tinggal untuk perbaiki prestasinya yang disifatkan belum di tahap terbaik di London.

"Saya akan baiki segala kesilapan dan harap dapat beri persembahan terbaik ketika di Rio nanti," katanya.

Berita Harian X