Selasa, 8 March 2016 | 9:16am

Wenger berang kritikan 'membosankan'


AKSI spontan Pengurus Arsenal, Arsene Wenger ketika pasukannya menentang Swansea City pada perlawanan Liga Perdana Inggeris 2 Mac lalu. - Foto REUTERS

LONDON: Arsene Wenger mempertahankan pencapaiannya selaku pengurus Arsenal bagi menyerang balas semula kritikan 'membosankan' yang mendesak dia melepaskan jawatan disandangnya itu.

Wenger sejak kebelakangan ini acap kali didesak penyokong dan penganalisis supaya meletak jawatan dan minggu lalu dia sekali lagi berdepan situasi sama selepas mencatat tiga kekalahan berturut-turut yang memberi tamparan besar dalam usaha The Gunners memburu gelaran Liga Perdana Inggeris dan kempen Liga Juara-Juara.

Legenda Arsenal, Thierry Henry berkata, dia tidak pernah melihat kemarahan penyokong kelab berkenaan selepas tewas di halaman sendiri kepada Swansea manakala bekas pengurus Liverpool, Graeme Souness menggelarkan The Gunners sebagai 'lemah dan hambar'.

Wenger, yang kini muncul selaku pengurus paling lama berkhidmat di Eropah selepas menerajui Arsenal selama 20 tahun, dijadual berkunjung ke Hull untuk pusingan kelima Piala FA awal pagi esok dalam misi untuk menjulang trofi untuk kali ketiga berturut-turut.

Ditanya sekiranya tindakan peminat ke atasnya hingga ke akhir musim ini bakal menggugat lanjutan kontrak di Arsenal, Wenger sama sekali enggan mengambil endah pandangan luar itu.

"Saya sudah berkhidmat di sini selama 19, 20 tahun dan saya sentiasa berada di sini dengan justifikasi yang saya cukup bagus untuk tugas ini," kata Wenger.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan segala-galanya tetapi saya dapati ia seakan membosankan pada penghujungnya.

Saya sentiasa perlu meyakinkan kamu yang saya cukup bagus untuk tugas ini. Saya sudah berkhidmat selama 35 tahun di peringkat tertinggi.

"Selepas 19 tahun di sini, apa yang saya perlu hadapi: 'Adakah kamu fikir yang kamu cukup baik?' Sekiranya tidak, orang lain akan memberitahu saya."

Walaupun Arsenal tidak pernah memenangi gelaran sejak 2004 dan hanya mara ke final Liga Juara-Juara pada 2006, Wenger bagaimanapun yakin mampu mengendali tugasnya bagi menjulang trofi berkenaan berbanding hanya memberi tumpuan kepada perkara yang tidak dapat dikawal. - AFP

Berita Harian X