Selasa, 8 March 2016 | 12:19am
GELAGAT Uqasha ketika bercuti bersama rakan artis di Thailand mengundang cemuhan peminatnya.

Uqasha Senrose sekat peminat kurang ajar

KUALA LUMPUR: Tidak keterlaluan dikatakan, andai dibuat carian dalam internet atas nama Uqasha Senrose, gosip panas dan kontroversi dirinya lebih diperkatakan, berbanding bakat atau drama lakonan aktres jelita ini.

Umpama magnet kontroversi, Uqasha atau nama penuhnya, Nik Zaris Uqasha Senrose, 23, tidak habis-habis dihambat cerita panas.

Terbaharu, Uqasha dikecam lagi ekoran tersebarnya gambar yang antara lain memaparkan dirinya tidak bertudung dan seksi ketika bercuti di Koh Lipe, Thailand bersama teman pelakon, Iqram Dinzly.

Ketika gambar itu menjadi viral, Uqasha memilih menutup mulut dek kesilapan sendiri.


UMPAMA magnet kontroversi, Uqasha atau nama penuhnya, Nik Zaris Uqasha Senrose, sering dihambat cerita panas.

Namun, ketika dihubungi bagi mendapatkan reaksi mengenai pemilihannya membawa watak Izzah untuk teater Ombak Rindu, Uqasha berani bersuara mengenai isu gambar itu.

Tiada niat menegakkan benang yang basah, pelakon filem Paku Pontianak itu enggan mengungkit kisah lalu.

Namun, jauh di sudut hatinya, Uqasha terkilan bagaimana segelintir manusia pantas menegur tanpa adab.

Uqasha melihat ada pihak seolah-olah bebas menyinggung perasaan orang lain seperti tidak ada perasaan.

"Benda sudah berlalu, jadi biarlah ia pergi. Cerita lama. Sebagai manusia biasa, saya sendiri tak dapat lari daripada berbuat salah.

"Belum habis cerita baharu, ada pula yang timbulkan cerita lama. Mentaliti sesetengah orang kita terlalu melihat yang negatif hingga benda yang baik dilupakan.

"Tapi saya akur dan tak mampu hendak memuaskan hati semua orang," katanya.

Uqasha mengaku tersinggung dan ralat dengan teguran segelintir pengikut terhadap dirinya.

"Bukan bermaksud saya tak boleh terima teguran. Tetapi, kalau nak menegur sekalipun, biarlah berhemah.

"Apabila saya menyekat akses pengikut di laman sosial kerana bersikap kurang ajar, mereka pula naik marah dan melenting. Saya tak perlu lagi perkara negatif seperti itu.

"Kalau kena batang hidung sendiri, mereka tak fikir agaknya. Saya buat semua ini sebagai peringatan untuk menghormati privasi dan sedar cara bertutur dengan betul," katanya.


PELAKON, Uqasha Senrose berazam mahu membuang jauh segala kontraversi. - Foto Munira Abdul Ghani

Uqasha berkata, artis juga manusia biasa

"Jangan cakap ikut sedap mulut saja. Kenapa perlu saya 'simpan' orang yang tegur keterlaluan. Jadi lebih baik saya sekat akses mereka di laman sosial daripada terus merosakkan mood diri sendiri," katanya.

Uqasha menjelaskan, dia hanya mempunyai akses dalam akaun Instagram, Twitter dan aplikasi WhatsApp.

"Saya tidak ada akaun Facebook atau WeChat. Jadi, semua yang ada itu palsu. Saya harap tidak ada yang cuba ambil kesempatan dan memburukkan nama saya dengan mengakui memiliki akaun terbabit," katanya.

Fikir banyak kali terima watak Izzah

Mengenai kerjaya seni, Uqasha berharap dia terus diberi peluang untuk membuktikan bakat dirinya. Drama Tundukkan Playboy Itu yang sedang hangat disiarkan TV3 menyuntik semangat Uqasha untuk bekerja keras dan membuang jauh segala kontroversi.

Tawaran melakonkan watak Izzah untuk teater Ombak Rindu turut meyakinkan dirinya ada pihak percaya dengan bakat dimiliki.


UQASHA mengaku tersinggung dengan teguran segelintir peminat terhadap dirinya. - Foto Munira Abdul Ghani

Watak Izzah pada asalnya dilakonkan Maya Karin untuk versi filem. Namun, usaha penerbit teater Ombak Rindu, CTRA Production mendapatkan Maya tidak berjaya. Khabarnya, Maya mahu Aaron memegang watak sebagai Hariz.

Bagaimanapun, untuk pementasan teater terbabit, watak Hariz dipegang Keith Foo selepas Aaron menolak tawaran teater berkenaan.

Teater yang diangkat daripada novel terkenal tulisan Fauziah Ashari itu akan dipentaskan di Istana Budaya mulai 22 April depan. Selain Uqasha dan Keith, turut membintangi naskhah itu adalah Zarina Zainoordin, Zaidi Omar, Izzue Islam, Aris Lufias, Ameer dan Karl Shafek.

Teruja bercerita mengenai pementasan teater Ombak Rindu, Uqasha berkata, dia akan membawa dua karakter.

"Saya terkejut kerana watak Izzah bukan calang-calang. Ia dilakonkan Maya yang diakui sangat hebat bakatnya. Saya berfikir banyak kali untuk menerima tawaran ini.

"Selepas diyakinkan penerbit, saya sahut cabaran. Sudah tiba masanya saya mencabar diri. Jadi kenapa saya perlu menolaknya.

"Sebelum ini saya pernah beberapa kali mendapat tawaran dari Istana Budaya untuk berlakon teater. Tetapi saya tolak kerana belum berani mengambil risiko. Insya-Allah saya akan cuba berikan yang terbaik untuk watak Izzah ini," katanya.

Berita Harian X